KUALA LUMPUR: Isu percukaian, TVET dan masalah bekalan air di Labuan antara isu yang jadi tumpuan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut aturan mesyuarat, isu ini akan dibangkitkan dalam sesi soal jawab lisan.

Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail mahu kerajaan menjelaskan iltizam dan kesediaan untuk memperkenalkan lebih banyak alternatif percukaian progresif seperti cukai harta pusaka dan cukai keuntungan modal, sebelum melaksanakan semula gst, sejenis cukai dalam usaha mempelbagaikan dan meningkatkan pendapatan negara di samping menangani defisit.

Selain itu, kerajaan juga diminta menyatakan pendekatan baharu dalam memperkasa lagi hala tuju TVET bagi melahirkan lebih ramai golongan profesional dan teknikal yang berdaya maju di negara ini.

Ia bagi dalam mendepani dan memenuhi keperluan perindustrian negara selari dengan perkembangan global dan kesediaan menghadapi teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Soalan ini dikemukakan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali.

Turut dibangkitkan masalah bekalan air dan elektrik yang meruncing di Labuan.

Ahli Parlimennya Dr Suhaili Abdul Rahman bertanya bilakan masalah ini dapat diselesaikan, serta status program-program yang akan diadakan di Labuan.

Berdasarkan takwim di laman rasmi Parlimen, persidangan Dewan Rrakyat kali ini akan berlangsung selama 19 hari dengan Perbahasan Titah Diraja oleh Ahli-Ahli Parlimen dari 27 Februari hingga 7 Mac diikuti jawapan daripada kementerian berkaitan selama empat hari bermula 11 Mac.

Manakala pembentangan serta pembahasan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain akan diadakan pada 18 hinga 27 Mac.