Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, beliau tidak menerima apa-apa surat atau tindakan secara rasmi mengenai desas-desas mengatakan akan berlaku pertukaran Yang di-Pertuan Agong.

Justeru katanya, beliau tidak akan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

“Saya tidak menerima apa-apa surat atau apa-apa tindakan rasmi mengenai semuanya. Jadi saya tidak akan cakap apa-apa mengenainya,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Bangunan Yayasan Al-Bukhary di sini, hari ini.

Dr Mahathir mengulas mengenai desas-desau mengatakan Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang membincangkan perihal Sultan Muhammad V yang bakal menamatkan tugasan Yang di-Pertuan Agong lebih awal atas sebab-sebab tertentu.