KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan menamatkan isu lantikan doktor secara kontrak menjelang 2028 dengan menawarkan jawatan tetap kepada semua pegawai perubatan siswazah (houseman) sebaik sahaja mereka menamatkan latihan siswazah.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sasaran itu merupakan hasil pendekatan "whole-of-government" menerusi Pasukan Petugas Bersama Antara Kementerian yang ditubuhkan bagi menangani isu sumber manusia dalam sektor kesihatan.
Menurut beliau, usaha pembaharuan yang sedang dilaksanakan mula menunjukkan hasil dalam menangani isu berpanjangan berkaitan pengurusan tenaga kerja di KKM.
"Tahun ini sahaja, seramai 4,500 pegawai perubatan kontrak akan diserap ke jawatan tetap, selain 800 jawatan baharu yang diluluskan setiap tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau turut menegaskan bahawa tiada pembekuan pengambilan petugas kesihatan meskipun berlaku penyelarasan bajet perbelanjaan operasi (OE).
Kata Dzulkefly lagi, KKM berada di landasan untuk mengisi lebih 18,000 kekosongan jawatan merentasi semua skim perkhidmatan kementerian sepanjang tahun 2026.
Dalam pada itu, beliau menambah KKM terus berusaha menambah baik persekitaran kerja bagi mengurangkan masalah keletihan melampau atau burnout dalam kalangan petugas kesihatan.
Bagaimanapun, beliau mengakui usaha melahirkan dan menggantikan pakar perubatan merupakan cabaran yang lebih kompleks serta memerlukan penyelesaian jangka panjang.
Sehubungan itu, ujarnya Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Mohd Azman Yacob telah diarahkan memberi tumpuan khusus kepada usaha memperbaharui sistem latihan dan menyelesaikan isu penghasilan pakar perubatan tempatan.
"Melalui program Sarjana Perubatan tempatan mahupun laluan Parallel Pathway, kita perlu memastikan ekosistem latihan yang mampan dan bertaraf dunia untuk profesional kesihatan negara," katanya.
Beliau berkata, segala pembaharuan yang dilaksanakan bertujuan memastikan sistem kesihatan negara lebih mampan serta mampu menyediakan laluan kerjaya yang lebih terjamin, khususnya kepada doktor muda.