[TERKINI] AS Turunkan Tarif ke 19% Terhadap Malaysia – Semak Laporan Penuh Di Sini
MALAYSIA

Isu Fahmi Reza: Portal Imigresen versi Bahasa Inggeris ditutup untuk kemas kini – KP JIM

Firdaus Azil 13/06/2025 | 06:30 MYT
Jabatan Imigresen ambil maklum tentang kekeliruan yang timbul susulan perbezaan paparan maklumat antara dua versi laman web rasmi tersebut. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pemaparan maklumat status keluar negara yang berbeza di dalam laman web Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), adalah kerana versi Bahasa Inggeris dalam proses pengemaskinian.


Ringkasan AI
  • Laman web Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengalami perbezaan paparan maklumat status keluar negara, disebabkan versi Bahasa Inggeris sedang dalam proses pengemaskinian dan telah ditutup sementara.
  • Aktivis Fahmi Reza mendapati maklumat di laman versi Bahasa Melayu menyatakan sekatan perjalanan, namun tiada halangan di versi Bahasa Inggeris, yang kemudian mendapat perhatian Perdana Menteri dan pihak berkuasa.
  • Ketua Polis Negara menjelaskan Fahmi Reza tidak dikenakan sekatan keluar negara, tetapi hanya dalam senarai pemantauan, manakala sekatan masuk ke Sabah masih berkuat kuasa atas arahan pihak berkuasa negeri.


Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, pihaknya mengambil maklum tentang kekeliruan yang timbul susulan perbezaan paparan maklumat antara dua versi laman web rasmi tersebut.

“Hal ini timbul kerana portal versi Bahasa Inggeris sedang dalam proses pengemaskinian. Justeru itu, portal versi Bahasa Inggeris telah ditutup sementara waktu bagi tujuan pengemaskinian tersebut.

“Pihak Jabatan sedang menjalankan semakan teknikal secara dalaman bagi memastikan ketepatan dan konsistensi maklumat yang dipaparkan dalam semua versi bahasa agar tidak menimbulkan kekeliruan kepada pengguna,” katanya lagi.

Terdahulu aktivis Fahmi Reza melampirkan paparan keputusan di laman versi Bahasa Melayu bahawa dia perlu merujuk ke Pejabat Imigresen untuk meninggalkan Semenanjung Malaysia, namun tiada sebarang halangan apabila disemak di laman versi Bahasa Inggeris.

Sebelum ini dia menzahirkan rasa tidak puas hati kerana dilarang pergi ke Singapura pada 6 Jun lepas, kononnya ada sekatan perjalanan.

Perkara itu mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengarahkan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan agensi berkaitan untuk membuat siasatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, kemudian menjelaskan Fahmi Reza tidak dikenakan sekatan pergerakan keluar negara, sebaliknya menjelaskan namanya hanya berada dalam senarai pemantauan pergerakan untuk tujuan rekod dan rujukan dalaman.

Beliau berkata, berlaku kekeliruan semasa semakan di pintu keluar negara menyebabkan arahan sekatan dikeluarkan secara tidak tepat, dan perkara itu sedang diteliti untuk penambahbaikan prosedur.

Dalam pada itu, Zakaria dalam kenyataan yang sama menjelaskan, tiada halangan bagi individu tersebut untuk membuat perjalanan ke luar negara.

Namun begitu, beliau menjelaskan, sekatan masuk ke negeri Sabah masih lagi berkuat kuasa atas arahan pihak berkuasa Negeri.

“Jabatan Imigresen Malaysia sentiasa komited untuk melaksanakan tanggungjawab berdasarkan peruntukan undang-undang, dengan menjunjung prinsip ketelusan dan profesionalisme dalam semua aspek penyampaian perkhidmatan,” katanya lagi.


#Sekatan keluar negara #Fahmi Reza #Jabatan Imigresen Malaysia #terkini