KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan setiap kelemahan dan permasalahan yang berlaku dalam pengurusan Felda sebelum ini mesti dijadikan pengajaran, bukannya diwariskan kepada generasi akan datang.
Beliau berkata, segala penemuan berkaitan kelemahan terdahulu perlu dikenal pasti dan diperbaiki menerusi tindakan tegas bagi memastikan tadbir urus serta pengurusan Felda terus diperkukuh.
“Setiap kelemahan dan permasalahan yang berlaku sebelum ini mesti dijadikan iktibar dan tidak boleh dibiarkan berulang.
“Kita tidak boleh terus terperangkap dalam polemik masa lalu. Apa yang lebih penting ialah memastikan setiap penemuan dan kelemahan dikenal pasti, diperbaiki dan disusuli dengan tindakan yang tegas.
"Pengurusan hari ini mesti lebih cekap, berintegriti dan bertanggungjawab, dengan tumpuan yang jelas kepada kepentingan peneroka dan masa depan Felda,” katanya menerusi satu kenyataan di akaun Facebook milik beliau, pada Jumaat.
Beliau berkata, Kerajaan MADANI komited memastikan Felda terus diperkukuh dan ditadbir dengan baik demi menjamin manfaat institusi itu dikembalikan kepada golongan peneroka.
“Ini supaya institusi ini terus kukuh dan manfaatnya benar-benar kembali kepada peneroka serta generasi akan datang,” katanya.
Anwar turut menekankan kepentingan pengurusan yang berteraskan amanah dan akauntabiliti bagi memastikan Felda terus memainkan peranan penting dalam menjaga kepentingan peneroka.
Sebelum ini, Anwar menghadiri Sesi Ramah Mesra bersama Pengurusan Tertinggi Felda, di Bangi, pada Jumaat.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebelum ini bertitah supaya siasatan berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) serta isu semasa Felda dilaksanakan secara menyeluruh.