Skip to main content

Malaysia

Isu gangguan air di Tawau dapat perhatian Kabinet Sabah

Isu gangguan bekalan air di Tawau dibangkitkan dalam Mesyuarat Kabinet Sabah pada Rabu lepas agar tindakan segera diambil bagi membantu penduduk terjejas. - Gambar hiasan/ Bernama
Isu gangguan bekalan air di Tawau dibangkitkan dalam Mesyuarat Kabinet Sabah pada Rabu lepas agar tindakan segera diambil bagi membantu penduduk terjejas. - Gambar hiasan/ Bernama

Advertisement

KOTA KINABALU: Isu gangguan bekalan air di Tawau dibangkitkan dalam Mesyuarat Kabinet Sabah pada Rabu lepas agar tindakan segera diambil bagi membantu penduduk terjejas.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang membangkitkan perkara berkenaan berkata, cuaca kering dan kekurangan hujan berpanjangan di Tawau menyebabkan sumber air mentah terjejas sehingga mengganggu operasi rawatan serta pengagihan bekalan air kepada penduduk.

“Saya membangkitkan masalah ini dalam Mesyuarat Kabinet kerana memahami kesulitan yang dihadapi penduduk terjejas dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah agar Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Tawau mengambil tindakan proaktif.

“Hal itu termasuk mempergiat penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki ke kawasan terjejas. Selain itu, Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam turut memberi jaminan isu berkenaan dipantau serta keupayaan digerakkan bagi membantu penduduk terjejas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Gangguan bekalan air di Tawau berlaku sejak minggu lepas sehingga menjejaskan aktiviti harian penduduk.

Dalam pada itu, Nizam berkata, berdasarkan maklumat terkini JANS Tawau, operasi Loji Rawatan Air (LRA) Utara masih terjejas berikutan masalah kualiti air mentah dari Sungai Tawau.

“Walaupun hujan, taburan hujan di kawasan tadahan masih belum mencukupi untuk meningkatkan paras sungai secara ketara bagi membolehkan operasi rawatan air kembali pulih sepenuhnya.

Nizam berkata, penghantaran bantuan air akan diteruskan mengikut kemampuan operasi semasa dengan penyelarasan yang lebih teratur bagi memastikan kawasan terjejas mendapat perhatian.

Beliau berkata, masalah bekalan air tidak boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan keperluan asas rakyat, selain memberi kesan kepada urusan harian isi rumah.

“Saya akan terus berhubung dengan kementerian dan JANS bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai keadaan bekalan air serta memastikan keperluan penduduk yang terjejas terus diberi perhatian,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement