Isu gantung Parlimen ke mahkamah dalam masa terdekat, kata Anwar Ibrahim

Fareez Azman
Januari 20, 2021 10:19 MYT
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Pakatan Harapan akan cabar tindakan kerajaan mengantung Parlimen di mahkamah dalam tempoh terdekat. - Gambar fail Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) akan mencabar tindakan kerajaan mengantung Parlimen di mahkamah dalam tempoh terdekat.
Menurut Ketua Pembangkang itu, tindakan berkenaan diambil bagi memastikan terdapat proses semak dan imbang ketika darurat dilaksanakan.
"Apa kita nak ajukan ke mahkamah bukan darurat, tetapi keperluan meneruskan dengan mesyuarat Parlimen, supaya Parlimen boleh bersidang.
"Kita nak ajukan ke mahkamah esok atau lusa, (tujuan) barisan peguam saya dan rakan-rakan Pakatan Harapan adalah untuk memastikan mahkamah memutuskan supaya Parlimen dapat bersidang terus.
"Sebab apa? Sebab perkara rakyat boleh dibahaskan, sebab ketelanjuran kerajaan boleh diperbetulkan dan sebab beberapa kelemahan usaha menangani COVID-19 dapat diperbetulkan.
"(Adalah) penting pastikan prinsip tata kelola baik dilaksanakan, kita tidak mahu digunakan peluang darurat ini tanpa 'check and balance' dan boleh mereka lakukan sewenang wenangnya," kata Presiden PKR itu dalam sidang media secara dalam talian menerusi Facebook rasminya pada Rabu.
#Anwar Ibrahim #PKR #Pakatan Harapan #Facebook #Media #Parlimen #mahkamah #kerajaan #presiden #pembangkang #rakyat #COVID-19 #kerjasama #peguam #ahli Parlimen