Isu ijazah Azizan Osman: Richworks International akan dapatkan penjelasan UM

Astro Awani
September 30, 2016 00:41 MYT
Pengasas Kumpulan Syarikat Richworks Dr Azizan Osman bercakap pada sidang media 'Klinik Usahawan Dr Azizan Osman: Mudahnya Berniaga' dan Pelancaran Buku 'Mudahnya Berniaga oleh beliau, Mac lalu. -- Foto Bernama
Syarikat milik penceramah motivasi Azizan Osman, Richworks International Sdn Bhd akan mendapatkan penjelasan daripada Universiti Malaya (UM) berhubung isu anugerah ijazah kehormat doktor keusahawanan kepadanya.
Richworks dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook Azizan pada Khamis malam berkata, syarikat itu turut memandang serius perkara itu dan akan menangani perkara itu dengan sebaik mungkin.
Menurut kenyataan itu, sebaik sahaja perkara itu diselesaikan, pihaknya akan memaklumkan mengenainya secara umum.
Ia susulan penafian oleh UM dalam satu kenyataan akhbar di Facebook bahawa, universiti itu tidak pernah menganugerahkan ijazah kehormat berkenaan kepada Azizan.
UM memberi penjelasan berhubung status gelaran berkenaan yang didakwa dianugerahkan oleh universiti berkenaan kepada Azizan sepertimana dibangkitkan di laman-laman media sosial.
"Penjelasan tersebut diharap dapat menjawab kekeliruan yang timbul dalam kalangan masyarakat berkaitan dakwaan tersebut," menurut kenyataan itu.
Richworks, yang ditubuhkan pada 2008, merupakan sebuah syarikat menganjurkan seminar berkaitan pembangunan kemuncak prestasi dalam bidang perniagaan dan keusahawanan serta pembelian barangan dalam talian.
#Azizan Osman #Facebook #Richworks International #UM #universiti malaya