Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Parlimen Ketiga Belas (2013) akan bermula hari ini dan perbahasan dijangkakan akan bertumpu terhadap isu jenayah, kenaikan harga minyak, transformasi dan juga isu lain yang melibatkan kepentingan rakyat.

Tumpuan dijangka akan diberikan kepada pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 yang dikatakan akan dibentangkan ketika persidangan kali ini.

Sebelum ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa pindaan itu dijangka dapat dibawa ke Dewan Rakyat ketika mesyuarat kedua untuk diperbahaskan.

Pindaan tersebut dikatakan akan memberi lebih kuasa kepada polis setelah pemansuhan Ordinan Darurat dan Akta Kediaman Terhad 1933.

Isu jenayah dijangka akan menjadi tumpuan ahli parlimen memandang beberapa kejadian tembak sebelum ini yang berlaku antaranya kes melibatkan pembunuhan pengasas bank Arab Malaysian, Hussain Ahmad Najadi, selain beberapa kejadian jenayah melibatkan penggunaan senjata api.

Kejadian ini telah membimbangkan rakyat dan semua ahli parlimen dijangka akan memberi tumpuan terhadap isu ini kerana ia melibatkan keselamatan negara dan rakyat. Antara yang dijangka akan menjadi perbahasan ialah bagaimana senjata api begitu mudah diseludup ke negara ini.

Memandangkan mesyuarat kali ini hanya berlangsung selama lapan hari tidak banyak rang undang-undang akan dibentangkan.

Perbahasan dijangka akan bertumpu kepada Tambahan Perbekalan, bagi mendapatkan kelulusan Parlimen untuk tambahan peruntukan kerajaan.

Terdapat dua akta yang dijangka akan dipinda melibatkan undang-undang profesion (Akta Undang-Undang Profesion 1976 dan Akta Profesion Guaman (Pindaan) 2012).

Selain itu, tumpuan juga akan diberikan kepada anggota Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) yang akan diumumkan pada kali ini.

Seramai 14 orang akan dipilih untuk menganggotai jawatankuasa PAC yang terdiri dari sembilan wakil dari Barisan Nasional dan lima dari pembangkang.

Ahli parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed telah dipilih untuk mengetuai PAC kali ini menggantikan Datuk Seri Azmi Khalid.

Satu usul mengenai konflik di Mesir telah dikemukakan untuk mendapat kelulusan speaker Dewan Rakyat. Usul ini dibawakan oleh Ketua Whip Pas, Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz menjelaskan Pas merasakan perlu bagi dewan rakyat membincangkan tentang konflik di Mesir kerana ia melibatkan sebuah negara Islam dan ramai pelajar Malaysia yang belajar di negara tersebut.

Selain itu, beliau juga menjelaskan ahli-ahli parlimen Pas akan menyentuh isu berkaitan jenayah dan ekonomi ketika perbahasan dan soal jawab.

Sesi soal jawab yang dijadualkan bermula pukul 10 pagi akan dimulakan dengan soalan dari Ahli Parlilen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah yang meminta Perdana Menteri menyatakan pencapaian program-program transformasi yang dilaksanakan kerajaan.

Sementara Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai pula dijangka akan bertanya kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri tentang strategi untuk menggalakan transformasi industri kecil dan sederhana ke industri pertumbuhan tinggi.

Presiden Pas yang Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangkakan akan membangkitkan soalan mengenai tindakan yang dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mendidik masyarakat berhubung kepelbagaian mazhab dalam Islam seperti Salafiyah, Maturidiyah, Wahhabiyah dan lain-lain ke arah memelihara keharmonian masyarakat Islam di negara ini.

Sidang kali ini dijadualkan akan berakhir pada 3 Oktober sebelum disambung kembali pada 21 Oktober, empat hari sebelum pembentangan Belanjawan 2014 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada 25 Oktober.