IPOH: Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad menjelaskan bahawa beliau masih belum dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi membantu siasatan berhubung isu penjualan tanah lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

Saarani berkata, jika beliau dipanggil kelak, ia adalah disebabkan kedudukannya sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) ketika ini.

"Belum... (dipanggil SPRM), dan saya tak fikir Exco lain terlibat (isu penjualan tanah lapangan terbang). Sebab seperti kita maklumkan ia membabitkan PKNP sebab tanah itu merupakan tanah PKNP.

"Sudah tentu yang akan terlibat dan akan dipanggil pun ialah Pengerusi PKNP waktu itu, mungkin juga Ketua Pegawai Eksekutif atau Lembaga Pengarah PKNP waktu itu, kalau dia (SPRM) nak, panggillah.

"Kalau saya nak dipanggil pun sebab saya mungkin Menteri Besar dan Pengerusi PKNP waktu ini, semua itu yang saya fikir akan kena panggil tapi saya belum kena panggil lagi," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Terdahulu, Saarani berkata seramai 468 pengunjung datang ke program tersebut dengan 109 kaunter dibuka dan membabitkan 20 jabatan berkaitan.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai dakwaan Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Datuk Hamidah Osman bahawa tanah lapangan terbang berkenaan dijual di bawah harga pasaran, Saarani menjawab perkara itu patut dirujuk pada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

"Saya tak pasti sebab saya tak terlibat tetapi biasanya PKNP akan merujuk kepada JPPH. Sama ada pajakan atau penjualan biasakan kita akan rujuk kepada jabatan ini.

"Ia bagi membolehkan kita membuat keputusan yang betul, jadi saya tak dapat nak jawab sama ada pada waktu itu di bawah harga pasaran ataupun tidak. Ia sepatutnya dirujuk laporan JPPH waktu itu," katanya lagi.

Semalam media melaporkan SPRM akan memanggil dan merakam percakapan beberapa individu untuk membantu siasatan berhubung isu penjualan tanah bagi pembinaan lapangan terbang antarabangsa seluas 188 hektar di Seri Iskandar bermula minggu ini.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad dipetik sebagai berkata, individu berkenaan turut membabitkan beberapa ahli lembaga pengarah beberapa jabatan berkaitan.