IPOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak telah memanggil tiga saksi bagi membantu siasatan berhubung isu penjualan tanah pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

Pengarah SPRM Perak Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata individu-individu yang dirakam keterangan berkenaan adalah terdiri daripada pegawai Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Kerajaan Negeri Perak.

"Setakat ini, tiada individu yang ditahan dan kajian terhadap dokumen yang diperoleh masih dijalankan untuk memangil saksi-saksi bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sebelum ini, Mohd Fauzi dilaporkan berkata pihaknya akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan mulai minggu ini yang dilakukan susulan aduan rasmi diterima daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi Datuk Asmuni Awi, pada 5 April lepas.

Jual Tanah | MB, UMNO tidak perlu buat laporan - Saarani

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad pula dilaporkan berkata tanah itu telah dijual kepada sebuah syarikat swasta semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), kerana ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN), ia dirizabkan kepada PKNP bagi tujuan pembinaan lapangan terbang antarabangsa.

Sebelum ini, ADUN Aulong Nga Kor Ming semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Perak mendakwa, cadangan pembinaan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar telah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri, dan berkata perkara itu adalah salah laku serius serta mahu pihak bertanggungjawab yang menjual tanah tersebut diheret ke muka pengadilan.

-- BERNAMA