IPOH: Isu perkahwinan remaja bawah umur antara perkara yang hebat diperdebatkan selama ini, malah turut menjadi sorotan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Bahkan semalam, Nga Kor Ming (PH-Aulong) turut mengajukan persoalan yang sama dan meminta penjelasan mengenai isu berkenaan kepada pihak kerajaan negeri.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Wan Norashikin Wan Noordin, kerajaan negeri menerusi Wanita Perak akan mengadakan sesi perbincangan dan advokasi dengan kerjasama agensi berkaitan, bagi melihat cadangan untuk meningkatkan had umur perkahwinan tersebut.

"Ia membabitkan kerjasama agensi berkaitan seperti Jabatan Agama Islam Perak, Jabatan Pendaftaran, Jabatan Kehakiman, Jabatan Pendidikan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pembangunan Wanita serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara.

"Terdapat enam punca perkahwinan bawah umur yang dikenal pasti iaitu, pendapatan yang rendah dan kemiskinan, serta kekurangan pendidikan kesihatan reproduktif seksual.

"Kekurangan atau ketiadaan kemahiran keibubapaan, kekurangan atau ketiadaan akses kepada pendidikan, stigma masyarakat dan undang-undang yang masih membenarkan perkahwinan bawah umur," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Usul Menyembah Ucapan Tahniah Serta Menjunjung Kasih Atas Penzahiran Titah Diraja Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, pada sidang DUN Perak di sini hari ini.

Tambahnya, perkahwinan bawah umur bukan sahaja perlu ditangani melalui perubahan perundangan, malah melalui pendidikan, advokasi, kesihatan, pengukuhan institusi keluarga serta sokongan sosioekonomi masyarakat.

"Dalam Enakmen Keluarga Islam (Perak) 2004, umur minimum perkahwinan ditetapkan pada usia 18 tahun bagi lelaki manakala 16 tahun bagi wanita kecuali permohonan perkahwinan mendapat kebenaran daripada Hakim Syarie secara bertulis dalam hal dan keadaan tertentu.

"Perkahwinan bagi orang bukan Islam tertakluk di bawah Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164). Bagi mendaftarkan perkahwinan, permohonan perempuan mesti genap 16 tahun, jika kurang dari 18 tahun perlu mendapat kelulusan di bawah Seksyen 21(2) oleh Menteri Besar Perak yang telah diturun kuasa kepada Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Negeri.

"Permohonan lelaki pula, mesti genap 18 tahun, jika belum mencapai 21 tahun perlu mendapat persetujuan bertulis dari ibu atau bapa," katanya lagi.

Wan Norashikin turut menyeru semua pihak berkenaan untuk lebih prihatin dalam menangani perkahwinan bawah umur di negeri ini, demi menjamin masa hadapan golongan kanak-kanak.

Semalam, Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak ketika mencelah semasa sesi perbahasan sidang DUN meminta penjelasan mengenai isu perkahwinan remaja bawah umur.

Beliau berkata perkahwinan bawah umur perlu diharamkan sebagaimana masyarakat menentang buruh kanak-kanak.

Menurutnya, berdasarkan statistik, terdapat 16,000 kanak-kanak perempuan berkahwin di bawah umur.