[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Isu Kampung Sungai Baru: 'Utamakan kepentingan orang Melayu' - Sultan Selangor

Ernalisa Othman 18/09/2025 | 04:50 MYT
Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, tiada halangan jika kawasan Kampung Bharu dibangunkan sejajar dengan peredaran zaman, namun menegaskan bahawa semua syarat perlu jelas dan berpihak kepada orang Melayu. - Gambar fail/BERNAMA
KLANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar pembangunan semula tanah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur dilaksanakan secara teliti dan berhemah dengan mengutamakan kepentingan orang Melayu.

Baginda bertitah, tiada halangan jika kawasan Kampung Bharu dibangunkan sejajar dengan peredaran zaman, namun menegaskan bahawa semua syarat perlu jelas dan berpihak kepada orang Melayu.

"Beta mahu agar isu ini dikendalikan dengan keutamaan diberi kepada orang Melayu. Sejarah asal penubuhan dan warisan Kampung Bharu juga harus diambil kira," titah baginda dalam kenyataan dikongsikan di Facebook Selangor Royal Office, hari ini.


Baginda turut mengimbas kembali penubuhan Kampung Bharu pada tahun 1899 sebagai penempatan masyarakat Melayu untuk pertanian, hasil kurniaan Sultan Selangor kelima, Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah dan diwartakan sebagai rizab Petempatan Pertanian Melayu (MAS) pada 1900.

Sultan Sharafuddin juga berkenan berkongsi kenangan peribadi, pernah menetap dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Raja Muda di Kampung Bharu, ketika almarhum ayahandanya, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menjadi Raja Muda Selangor.

"Beta ingin mengimbas semula susur galur sejarah dan peristiwa penting orang Melayu yang telah berlaku di Kampung Bharu dan harus dipelihara.

"Ini kerana Beta sendiri pernah menetap dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Raja Muda di Kampung Bharu, ketika ayahanda Beta, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menjadi Raja Muda Selangor.

"Allahyarham ayahanda kepada Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Hajah Norashikin juga lahir di Kampung Bharu di mana Tengku Permaisuri sekeluarga tinggal dan membesar," titah baginda.









#Sultan Selangor #Sultan Sharafuddin Idris Shah #isu Kampung Bharu #isu orang Melayu