KUALA LUMPUR: Tiada produk ubat-ubatan yang mengalami gangguan bekalan secara menyeluruh walaupun terdapat permintaan yang mendadak bagi beberapa jenis ubat-ubatan seperti produk dengan bahan aktif paracetamol, vitamin C dan ubat batuk.

Jelas Kementeri Kesihatan Malaysia, ini kerana kebanyakan produk mempunyai alternatif dari pelbagai jenama lain yang mempunyai indikasi yang sama.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM, Norhaliza A Halim pada Jumaat, menjelaskan, situasi berkenaan disokong oleh pihak pengilang yang turut meningkatkan
kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan yang tinggi.

Pada ketika ini, jelasnya, KKM sedang mendapatkan maklum balas lanjut daripada pihak industri berhubung status sebenar bekalan ubat-ubatan yang dihasilkan di Malaysia atau diimport serta isu-isu yang berkaitan dengannya.

Pemantauan yang ketat dan penyelesaian terhadap setiap isu yang dialami akan diteliti melalui komunikasi berterusan antara KKM dan pihak industri farmaseutikal bagi memastikan kesinambungan bekalan ubat-ubatan yang berkualiti, selamat dan berkesan kepada rakyat Malaysia.


Sebelum ini, timbul isu berkenaan kekurangan bekalan ubat-ubatan dan bahan mentah bagi produk farmaseutikal, dikatakan melibatkan ubat-ubatan untuk rawatan demam, selsema dan batuk, sakit tekak, antibiotik, ubat tahan sakit serta ubat-ubatan bagi mengurangkan gejala penyakit
kaki, tangan dan mulut (HFMD).

\
Perubatan | Bekalan ubat di Melaka berkurangan