KUCHING: Sarawak Energy Berhad, pemilik dan pengendali Empangan Bakun, berkata pihaknya telah pun menangani isu yang dibangkitkan oleh badan Dam Safety Flying Squad berhubung keadaan keselamatan empangan yang terletak di daerah Belaga di pedalaman Sarawak.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat bekalan tenaga milik kerajaan negeri itu berkata isu pembentukan pemendapan, keadaan instrumen, resapan empangan, integriti struktur utama dan hakisan tanah, semuanya telah diperbetulkan selepas lawatan skuad berkenaan ke empangan itu pada bulan Oktober tahun lepas.

"Selain audit yang dijalankan oleh Flying Squad, Sarawak Energy juga melantik perunding kuasa hidro antarabangsa bebas untuk menjalankan audit Semakan Keselamatan Empangan bagi semua empangan hidronya setiap lima hingga tujuh tahun," menurut kenyataan itu.

Menurutnya audit itu mematuhi keperluan yang ditetapkan oleh Pengurusan Keselamatan Empangan Malaysia (MyDAMS) dan garis panduan Jawatankuasa Antarabangsa Mengenai Empangan Besar (ICOLD).

Di samping itu, Sarawak Energy mempunyai Pemeriksa Empangan bertauliah oleh Jawatankuasa Kebangsaan Empangan Besar Malaysia (MYCOLD), dan Bahagian Keselamatan Empangan syarikat, yang menjalankan semakan dalaman dua kali setahun, di samping pemeriksaan rutin harian, mingguan dan bulanan yang dijalankan oleh kakitangannya di lapangan.

Sarawak Energy berkata mereka telah bekerjasama rapat dengan Persatuan Tenaga Hidro Antarabangsa (IHA) untuk melatih kakitangan mereka menggunakan alat piawaian kemampanan tenaga hidro yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, dan 75 kakitangan telah ditauliahkan.

"Selain itu, 23 kakitangan kini diiktiraf sebagai penilai bertauliah sementara bagi alatan itu, menyediakan tahap pengetahuan pakar yang lebih tinggi dan menunjukkan komitmen tinggi Sarawak Energy terhadap kemampanan," menurutnya.

Menurutnya Loji Hidroelektrik Bakun telah memenangi pelbagai anugerah keselamatan, termasuk Persidangan Antarabangsa mengenai Pengurusan Keselamatan Empangan dan Pengendali Empangan Terbaik Kejuruteraan (di bawah kategori program keselamatan empangan) pada Mac lepas.

Loji itu juga merupakan penerima Anugerah Keselamatan Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH); serta pemenang Piala Cabaran Anugerah Perdana Menteri (PMHA) 2023 dan Anugerah Pencapaian Cemerlang 2023.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) semalam berkata skuad yang diselaraskan pihaknya itu mendapati Empangan Bakun adalah antara lapan empangan di negara ini yang didapati mengalami kerosakan dan boleh mewujudkan ancaman kepada penduduk dan harta benda sekiranya berlaku kegagalan operasi.

Menurut kementerian itu empangan lain ialah Empangan Muda dan Ahning di Kedah, Empangan Jor dan Mahang di Perak, Empangan Sultan Abu Bakar di Pahang, Empangan Babagon di Sabah dan Empangan Kenyir di Terengganu.

Menurutnya pemeriksaan dijalankan oleh skuad itu dari 2021 hingga 2022.

-- BERNAMA