MALAYSIA
Isu kesilapan ejaan 'Allah': JAKIM sedia kerjasama semakan kaligrafi masjid, surau di Melaka
Mohd Na'im berkata langkah itu bagi memastikan setiap kaligrafi mengandungi kalimah suci yang dipamerkan di masjid dan surau adalah tepat serta menepati ajaran al-Quran dan hadis. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa agama Islam Melaka bagi membantu semakan dan verifikasi kaligrafi di masjid dan surau di negeri itu susulan dakwaan kesilapan ejaan dalam khat kufi kalimah 'Allah'.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata langkah itu bagi memastikan setiap kaligrafi mengandungi kalimah suci yang dipamerkan di masjid dan surau adalah tepat serta menepati ajaran al-Quran dan hadis.
"Saya difahamkan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka Datuk Rahmad Mariman telah mengarahkan semua masjid dan surau di negeri itu menyemak semula kaligrafi sedia ada.
"Dalam konteks saya dan pihak JAKIM, kita bersedia bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Melaka dan Majlis Agama Islam Melaka dalam hal ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Layar Dakwah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di sini, hari ini.
Pada masa sama, beliau menasihatkan semua jawatankuasa masjid dan surau di seluruh negara agar menyemak dengan teliti setiap penggunaan kaligrafi yang ingin dijadikan hiasan supaya selaras dengan kehendak syarak.
Mohd Na'im turut merakamkan penghargaan atas keprihatinan masyarakat yang menegur isu berkenaan namun berharap teguran dibuat secara berhemah dan membina.
"Tidak perlulah kita menggunakan perkataan yang menghina atau merendahkan orang lain...saya ucap terima kasih atas keprihatinan masyarakat untuk menegur dan membetulkan. Kalau khat atau kaligrafi itu silap, kita akan betulkan," katanya.
Semalam, Rahmad dilaporkan berkata kerajaan negeri Melaka sedang menyiasat dakwaan kesilapan dalam pemasangan khat kufi kalimah 'Allah' dengan ejaan yang kurang tepat dan kini dalam proses mengenal pasti masjid atau surau terlibat.
Terdahulu, seorang pempengaruh media sosial mendakwa terdapat kesilapan pada tulisan khat kufi di sebuah masjid di Melaka yang mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Sementara itu mengenai Layar Dakwah YADIM, Mohd Na'im berkata program itu merupakan usaha penting hasil kerjasama antara Yayasan YADIM dan Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia bagi melatih golongan seni menghasilkan kandungan karya seni berlandaskan panduan Islam.
Beliau berkata bagi fasa pertama iaitu dalam tempoh tiga bulan ini, program itu melibatkan 40 peserta yang akan dibimbing pakar industri termasuk tokoh seni terkenal seperti Datuk Yusof Haslam dan Datuk Ahmad Tamimi Siregar, dengan pengisian menggabungkan kepakaran kreatif dan ilmu agama.
"Ini bukan sahaja untuk memastikan kandungan drama itu mematuhi garis panduan sedia ada, tetapi juga menyampaikan mesej dakwah secara berkesan dan bersifat universal. Usaha ini akan memperkukuh kerjasama antara golongan seni dan agamawan ke arah membentuk masyarakat MADANI yang beradab serta berakhlak mulia," katanya.
-- BERNAMA