Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) berharap kumpulan penterjemah dan penulis bertenang dan mengambil sikap positif terhadap keputusan kerajaan untuk tidak melanjutkan kontrak bekas pengarah urusan merangkap ketua pegawai eksekutif institut itu, Mohd Khair Ngadiron.

ITBM percaya bahawa kerajaan mempunyai perancangan yang lebih besar untuk Mohd Khair pada masa hadapan dan institut itu mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau.

"Selama lebih 10 tahun beliau menerajui ITBM, banyak perubahan dan hasil yang berimpak tinggi telah dilaksanakan khususnya dalam bidang penterjemahan dan penerbitan buku di dalam negara dan antarabangsa.

"Justeru, ITBM memahami bahawa berlakunya kegelisahan dalam kalangan penterjemah dan penulis terhadap perkara ini," kata ITBM dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kenyataan itu bagi merujuk penerbitan artikel bertajuk "Kementerian digesa pertimbang semula 'pemecatan' bos ITBM" yang dikeluarkan satu portal berita pada Rabu.

ITBM berkata sebagai agensi di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan dan diselia Kementerian Pendidikan, jawatan itu merupakan lantikan secara kontrak berdasarkan tempoh khusus dan menafikan Mohd Khair dipecat.

Menurut ITBM, Mohd Khair dilantik secara kontrak sebagai pengarah urusan Institut Terjemahan Negara Malaysia (nama lama ITBM) bermula 15 Nov 2007 dan telah diberikan pelanjutan kontrak beberapa kali sebelum ia berakhir pada 14 Okt 2018.

-- BERNAMA