Isu kuil: Bomba Selangor buat laporan polis

Hilmi Malik
November 28, 2018 16:16 MYT
Azmi (tengah) menunjuk laporan polis yang dibuat di IPD Subang Jaya malam tadi. - Astro AWANI/Shahir Omar
Satu laporan polis telah dibuat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkenaan dakwaan seorang anggotanya, Muhammad Adib Mohd Kassim, dilanggar jentera bomba dalam satu insiden berhubung kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya.
Laporan polis itu dibuat Pengarah JBPM Selangor, Azmi Osman di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya pada pukul 9.56 malam.
Beliau turut berkata imej yang tular di media sosial yang kononnya menunjuk Muhammad Adib berdiri di belakang jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bomba adalah tidak benar sama sekali.
BACA: Parang, kayu, besi, buluh paip jadi hidangan bomba
"Itu bukan Adib. Kita ada ramai saksi anggota lain yang berada di lokasi kejadian, mereka yang buat dakwaan itu hanya berdasarkan video yang tular dan tidak berada di lokasi.
"Kami nafi sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat pihak terbabit," katanya kepada media di sini.
Tambahnya, pihak bomba kini menyerahkan sepenuhnya kes berkenaan kepada pihak polis untuk siasatan.
"Kita ada bukti dan kita serahkan kepada pihak polis untuk ambil tindakan," kata Azmi lagi.
Pada awal pagi Selasa, Muhammad Adib, 24 tahun, seorang anggota dari Balai Bomba Penyelamat Subang Jaya, cedera dalam satu insiden kekecohan berhubung Kuil Sri Maha Mariamman.
Mangsa kini sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) di mana dia dilaporkan dalam keadaan positif.
#azmi osman #bomba Selangor #kuil sri maha mariamman #laporan polis #Muhammad Adib