KUALA LUMPUR: Dua rakaman video sidang media telah ditayangkan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berhubung prosiding menghina mahkamah yang difailkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Video yang diterbitkan oleh dua portal berita dalam talian telah dimainkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong.

Beliau bagaimanapun mengarahkan agar video-video yang dimainkan itu dipastikan kesahihannya.

"Video-video ini tiada kepastian kesahihannya. Dengan teknologi yang ada seperti kecerdasan buatan (Al), kita perlu ada pengesahan dari pakar," katanya.


Selepas tayangan video tersebut, Techiong menetapkan 14 Mei untuk kedua-dua pihak mengemas kini mahkamah mengenai tindakan selanjutnya, sambil menegaskan bahawa prosiding menghina mahkamah merupakan satu tuduhan yang serius.

Pengesahan itu telah dimohon oleh peguam Nizam Bashir yang mewakili Tun Dr. Mathir Mohammad.

Prosiding tersebut difailkan susulan tindakan Dr Mahathir yang mengadakan sidang media pada 5 Disember tahun lalu di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di mana beliau menunjukkan beberapa salinan dokumen, termasuk kad pengenalannya, selepas memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman beliau terhadap Ahmad Zahid, 72, atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap beliau berhubung isu 'Kutty'.

Dr Mahathir telah selesai memberi keterangan pada hari tersebut, manakala anaknya, Datuk Seri Mukhriz tampil sebagai saksi terakhir plaintif pada 9 Disember, sementara Ahmad Zahid dijangka memberi keterangan sebagai saksi defendan seterusnya.

Berdasarkan pernyataan tuntutan difailkan pada 20 Julai 2022, Dr Mahathir mendakwa Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017 dan kenyataan itu diterbitkan semula di YouTube Astro AWANI dan beberapa portal berita dalam talian, yang boleh diakses oleh pengguna Internet tanpa sebarang sekatan.