NATIONAL
Isu lagu Negaraku: Pempengaruh media sosial disiasat MCMC
Menurut MCMC, salah seorang daripada suspek merupakan pempengaruh media sosial dan juga aktivis politik. - Foto MCMC
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka empat kertas siasatan terhadap dua individu yang disyaki memuat naik kandungan palsu dan jelik melampau berunsur 3R (perkauman, agama dan Institusi Diraja) di platform media sosial Facebook dan TikTok baru-baru ini.
MCMC memaklumkan, pihaknya juga selesai merakam keterangan kedua-dua individu tersebut di ibu pejabat suruhanuaya itu Cyberjaya, pada Isnin.
Menurut MCMC, salah seorang daripada suspek merupakan pempengaruh media sosial dan juga aktivis politik.
"Suspek dipercayai menimbulkan sentimen perkauman di media sosial melibatkan lagu kebesaran negeri Perak, penguasaan ekonomi masyarakat Melayu menerusi pemecahan monopoli Petronas dan Gas Malaysia Berhad, serta tentang pengambilalihan Menara Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, MCMC memberitahu, bagi tujuan analisis forensik, pihaknya juga merampas seunit telefon bimbit dan satu kad SIM milik suspek.
Kes itu menurutnya, disiasat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan sebelum ini menyatakan kekesalan terhadap tindakan seorang pempengaruh politik yang menularkan sebuah video mengelirukan melibatkan sebuah sekolah di Perak.
Video berkenaan mendakwa lagu kebangsaan Negaraku telah dinyanyikan dalam bahasa selain bahasa kebangsaan oleh murid sekolah terbabit.
Namun, menurut kementerian, lagu yang dinyanyikan sebenarnya bukanlah lagu Negaraku seperti yang didakwa, sebaliknya adalah lagu "Allah Lanjutkan Usia Sultan", iaitu lagu kebesaran rasmi negeri Perak.
MCMC mengingatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya menyebarkan kandungan yang tidak sahih atau menyentuh sensitiviti 3R yang boleh menggugat keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.