KUALA LUMPUR: Penggubalan undang-undang baharu bagi membanteras amalan lesen “Alibaba”, isu diplomatik Gaza dan nasib projek perumahan terbengkalai dijangka menjadi tumpuan utama pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, Syahredzan Johan (PH-Bangi) meminta Menteri Ekonomi menyatakan status penggubalan Akta Anti-Pencarian Sewa serta garis masa pembentangannya di Parlimen bagi membanteras masalah lesen “Alibaba.”
Isu konflik Asia Barat turut menjadi tumpuan apabila Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mengemukakan soalan kepada Menteri Luar Negeri berhubung langkah diplomatik Malaysia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi memastikan gencatan senjata dan bantuan kemanusiaan ke Gaza diteruskan.
Turut mencuri perhatian ialah nasib 1,120 unit kediaman projek Residensi Wilayah Pangsapuri Salak Selatan, apabila Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) meminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjelaskan pelan penyelamatan, termasuk cadangan melantik pemaju penyelamat sekiranya skim pengaturan gagal.
Selain itu, soalan berhubung isu persediaan pelan peralihan tenaga kerja ekoran ancaman kecerdasan buatan (AI) turut dibangkitkan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) manakala Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) bertanyakan soalan berkaitan isu median gaji dan graduan bekerja di bawah kelayakan akademik.
Agenda lain yang turut dibincangkan merangkumi hala tuju Tabung Pahlawan apabila Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) meminta Menteri Pertahanan menjelaskan transformasi tabung itu, penyaluran bantuan Sekolah Agama Rakyat 2026 oleh Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) serta isu kos input pertanian dan kebakaran belukar di Pulau Bruit, Sarawak yang dibangkitkan oleh Sabri Azit (PN-Jerai).
Selepas sesi soal jawab, Dewan Rakyat akan diteruskan dengan pembentangan usul melantik Ahli Parlimen bagi menganggotai Majlis Perkhidmatan Parlimen yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri.
Berdasarkan usul berkenaan, dua Ahli Parlimen kerajaan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) dan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) serta Ahli Parlimen pembangkang Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) akan dinamakan untuk menganggotai majlis itu selaras dengan Seksyen 3(2)(f) Akta Perkhidmatan Parlimen 2025.
Sidang Dewan Rakyat kemudian diteruskan dengan sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 pada peringkat dasar susulan pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada Jumaat lepas.
Berdasarkan takwim Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-15, perbahasan Belanjawan 2027 pada peringkat dasar berlangsung dari 12 hingga 22 Okt, sebelum sesi penggulungan oleh menteri berkaitan selama empat hari bermula 26 Okt.
Persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 37 hari hingga 8 Dis.
-- BERNAMA