MALAYSIA
Isu lesen dan iklan judi dalam talian, Fahmi jumpa Meta 22 Sept

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil ketika sidang media pada Hari Bersama Komuniti Dan Perasmian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Penanti hari ini. - Foto Bernama
BUKIT MERTAJAM: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil akan mengadakan pertemuan dengan syarikat gergasi media sosial Meta pada 22 Sept ini bagi membincangkan beberapa isu berkaitan platform sosial khususnya Facebook.
Ringkasan AI
- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil akan bertemu Meta pada 22 Sept bagi membincangkan isu iklan judi dalam talian di Facebook dan pelaksanaan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan (ASP).
- Fahmi menegaskan Facebook masih enggan bertindak tegas terhadap akaun dan pembayaran iklan berkaitan aktiviti terlarang, walaupun aduan telah dikemukakan sejak awal.
- Kempen Internet Selamat disasarkan ke 10,000 sekolah dan IPT menjelang tahun hadapan, dengan pengurus NADI berperanan sebagai duta mendidik komuniti tentang keselamatan penggunaan Internet.
"Aduan yang kami telah sampaikan dari awal sehingga sekarang, sekiranya satu iklan judi itu dibayar menggunakan satu kredit kad sebagai contoh, sepatutnya Facebook mengetahui ini kandungan yang tidak dibenarkan dalam Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Hari Bersama Komuniti dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Penanti di NADI Penanti di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Abdul Karim Fakir Ali.
Fahmi turut menyatakan Facebook masih enggan mengambil tindakan tegas terhadap akaun dan pembayaran iklan yang berkaitan dengan aktiviti terlarang itu.
"Ini antara beberapa perbincangan yang saya percaya kita akan teruskan dan kita mengambil sikap berdialog kerana kita tidak berhasrat untuk mengharamkan atau menutup tetapi mengambil sikap konstruktif," katanya.
Beliau berkata ia berikutan ramai yang memanfaatkan platform berkenaan untuk ekonomi dan sosial, namun pada masa sama kerajaan tidak mahu penjenayah menyalahgunakan media sosial untuk meraih keuntungan dengan merosakkan keharmonian.
Mengenai Kempen Internet Selamat, Fahmi memaklumkan MCMC telah menjelajah lebih 2,600 sekolah di seluruh negara setakat ini, dengan menyasarkan 10,000 sekolah menjelang tahun hadapan selain akan turut melibatkan Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam kempen itu.
"Ia untuk membawa satu mesej, iaitu kita perlu menggunakan Internet dengan selamat dan sebenarnya kita mempunyai kuasa keupayaan untuk menjadikan Internet itu lebih selamat, terutama untuk kanak-kanak dan keluarga," katanya.
Fahmi yang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Pulau Pinang itu turut menekankan peranan penting pengurus NADI dalam mendidik komuniti mengenai keselamatan Internet sekali gus menjadi duta kepada Kempen Internet Selamat.
Di bawah inisiatif 1 DUN 1 NADI, sebanyak 42 NADI telah dibangunkan oleh MCMC di Pulau Pinang dan setakat Mei 2025, ia berjaya menarik 10,827 ahli dan mencatatkan 17,743 penyertaan dalam pelbagai aktiviti perkhidmatan pintar.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami