KUALA LUMPUR: “Kalau ada bukti sila dedahkan,” itu perkara yang ditegaskan oleh Naib Presiden PKR, Datuk Seri R. Ramanan mencabar bekas menteri ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang belum mengemukakan bukti berhubung dakwaan beliau menerima RM9.5 juta daripada seorang ahli perniagaan, bagi menyelesaikan isu 'mafia korporat'.
Ramanan berkata dakwaan itu telah berlarutan selama enam hingga tujuh bulan, namun beliau mendakwa Rafizi masih belum mengemukakan sebarang bukti bagi menyokong tuduhan berkenaan.
Menurutnya, Rafizi sepatutnya mengemukakan bukti yang didakwa dimilikinya, bukannya terus mengulangi dakwaan berkenaan tanpa sokongan dokumen.
“Mana bukti dia? Tujuh bulan sudah. Enam bulan atau tujuh bulan saya pun dah lupa dah. Dia cakap ada bukti, ada bukti, ada bukti. Satu kertas bukti ada tak? Mana bukti dia? Itu yang saya katakan. He is a serial liar. Dia menteri yang gagal,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Perkhidmatan Warga Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di Kuala Lumpur, pada Khamis.
Ramanan turut mempersoalkan tindakan Rafizi yang mendakwa belum menerima writ saman daripadanya, sambil menegaskan beliau tidak mahu mengambil tindakan undang-undang yang akhirnya membebankan orang ramai.
Dalam pada itu, beliau mendakwa isu berkenaan digunakan untuk mengalihkan perhatian daripada isu lain yang membabitkan Rafizi, namun tidak mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan tersebut.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa fokus utamanya sebagai Menteri Sumber Manusia adalah menjaga kebajikan pekerja, peluang pekerjaan, pembangunan modal insan serta perlindungan sosial rakyat.
“Saya tak ada masa untuk mainan politik sebegini. Kalau ada bukti, tolong dedahkan,” katanya.
Terdahulu, Rafizi mendakwa beliau masih belum menerima writ saman daripada Ramanan berhubung dakwaan RM9.5 juta itu dan menyatakan kesediaan mengemukakan bukti yang dimilikinya di mahkamah.
Rafizi turut mempersoalkan penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat berhubung isu mafia korporat, dengan mendakwa persoalan mengenai kemungkinan wujudnya pihak dalam agensi penguatkuasaan yang bersekongkol dengan ahli perniagaan masih belum terjawab.
Anwar sebelum ini dilaporkan menolak dakwaan seorang menteri menerima RM9.5 juta daripada ahli perniagaan, sambil menyifatkannya sebagai kenyataan politik yang tidak disertakan bukti dan memaklumkan tindakan undang-undang telah diambil berhubung perkara itu.