Isu MB Selangor : Semua diserah kepada Majlis Presiden Pakatan

Media Statement
Julai 15, 2014 06:18 MYT
Tiada perbincangan isu Menteri Besar, semua diserah kepada Majlis Presiden Pakatan
Pakatan Rakyat hari ini sekali lagi mengulangi kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali bahawa isu Menteri Besar Selangor tidak dibincangkan di dalam mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat semalam (Isnin).
Penyelaras Sekretariat Pakatan Rakyat, Shabrimi Sidek dalam kenyataannya menegaskan mesyuarat tersebut turut tidak membincangkan isu calon pengganti kerana menyerahkannya kepada Majlis Presiden Pakatan Rakyat.
Pada pagi Selasa, Astro AWANI menyiarkan laporan mengenai status Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali untuk 'naik' menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu hampir terjawab selepas PAS dan DAP memberi persetujuan terhadap perlantikannya dalam satu pertemuan tertutup Pakatan Rakyat (PR) yang dibuat pada Isnin.
Bagaimanapun menurut sumber, keputusan akhir dijangka diputuskan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.
Menurut sumber itu lagi, nama Presiden PKR dan ADUN Kajang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail juga hampir pasti digugurkan dari senarai calon Menteri Besar selepas PAS tidak memberi sokongan terhadap Menteri Besar wanita.
#Azmin #DAP #Khalid #PAS #PKR