Skip to main content

Malaysia

Isu Network School Forest City: KDN mulakan siasatan, teliti dakwaan penglibatan warga Israel

Network School
KDN dalam kenyataan pada Selasa berkata, siasatan dijalankan menerusi Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan. -Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memulakan siasatan menyeluruh berhubung operasi Network School di Forest City, Johor, termasuk meneliti identiti dan status kewarganegaraan individu yang terbabit dalam projek berkenaan.

Langkah itu diambil susulan kebimbangan yang dibangkitkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengenai dakwaan terdapat warga Israel yang menyertai komuniti berkenaan menggunakan pasport atau kewarganegaraan kedua.

KDN dalam kenyataan pada Selasa berkata, siasatan dijalankan menerusi Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan.

Menurut kementerian itu, siasatan turut memberi tumpuan kepada jenis pas atau kemudahan imigresen yang diberikan, tujuan kemasukan ke Malaysia serta pematuhan terhadap syarat yang ditetapkan di bawah undang-undang imigresen dan peruntukan berkaitan.

"KDN turut bekerjasama rapat dengan semua kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan semua aspek di bawah bidang kuasa masing-masing disemak secara menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya dalam satu kenyataan.

KDN berkata tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas imigresen, pemberian maklumat palsu atau kesalahan lain yang boleh menjejaskan keselamatan serta kepentingan negara.

Menurut kementerian, pihaknya mengambil maklum kenyataan Kerajaan Johor dan kebimbangan orang ramai berhubung dakwaan penglibatan individu yang menggunakan kewarganegaraan kedua untuk memasuki Malaysia.

"KDN memandang serius sebarang perkara yang menyentuh aspek keselamatan negara, pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta penyalahgunaan kemudahan imigresen," katanya.

Pada masa sama, KDN menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau organisasi yang menyalahgunakan kemudahan imigresen negara atau menjalankan aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang sehingga menjejaskan keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional, telus dan berlandaskan undang-undang.

Network School merupakan komuniti kediaman dan ruang kerja bersama persendirian yang dilancarkan pada 2024 oleh pelabur teknologi, Balaji Srinivasan.

Komuniti itu menyasarkan golongan yang digelar techno-optimist dan mengenakan yuran melebihi RM6,000 sebulan yang merangkumi penginapan, makanan serta pelbagai kemudahan lain termasuk akses ke gimnasium.

Premis berkenaan mula mendapat perhatian selepas tular dakwaan di media sosial bahawa terdapat warga Israel yang menggunakan kewarganegaraan kedua sebagai antara penghuni komuniti tersebut.

Must Watch Video

Advertisement