Susulan isu guru Muslim Cina yang dipaksa membuka tudung di Kota Tinggi, pihak Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor (PPUNJ) mendesak Kementerian Pelajaran supaya mengambil tindakan tegas terhadap Guru Besar sekolah tersebut.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Hahasrin Hashim menyuarakan bantahannya hari ini dalam satu kenyataan media dimana beliau melahirkan rasa dukacita terhadap insiden tersebut.

"Kes ini tidak boleh diselesaikan sekadar permohonan maaf daripada pihak berkenaan kerana ia melibatkan keselamatan awam. PPUNJ juga merasa amat kesal dengan sikap berdiam diri Guru Besar sekolah terbabit yang seolah-olah merestui tindakan terkutuk itu.

"Kami juga mendesak Kementerian Pelajaran agar mengambil tindakan tegas terhadap Guru Besar sekolah tersebut, bersesuaian dengan peruntukan undang-undang sedia ada bagi memastikan kes seumpama ini tidak berulang lagi," tegas Hahasrin.

Baru-baru ini, ahli jemaah pengurus Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nan Ya, Pang Ah Ngang berusia sekitar 60an dilaporkan telah mendesak seorang guru Muslim Cina di sekolah tersebut untuk membuka tudung selain mengancam keselamatannya.

Guru tersebut kemudiannya dikatakan telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu di IPD Kota Tinggi dimana pihak polis telah memanggil Pang Ah Ngang untuk memberi keterangan.

"PPUNJ juga mendesak pihak polis memulakan siasatan segera dan membawa ahli Jemaah pengurus sekolah tersebut ke muka pengadilan berdasarkan peruntukan sedia ada di dalam Kanun Keseksaan memandangkan terdapat unsur-unsur ancaman ke atas keselamatan diri guru Islam tersebut," kata Hahasrin.

Dalam kenyataanya, PPUNJ turut menawarkan khidmat guaman secara percuma kepada Guru beragama Islam terbabit yang disediakan oleh Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam).

Tambahnya, PPUNJ juga akan memastikan keselamatan guru terbabit dan ahli keluarganya sentiasa terjamin.

Sementara itu, PPUNJ turut mencabar pihak pembangkang, Pakatan Rakyat (PR) untuk menjawab isu ini.

"Khususnya PAS yang kononnya memperjuangkan Islam. Tindakan berdiam diri PAS itu membuktikan yang mereka gagal dalam perjuangannya mempertahankan kesucian Islam kerana terlalu tunduk kepada sekutu mereka iaitu DAP dan PKR.

"Saya berasa kesal kerana kerakusan PAS untuk berkuasa membuatkan mereka sanggup menggadaikan perjuangan Islam," tambahnya.

Awal hari ini dalam satu sidang media, Pengerusi Biro Pelajaran Pemuda UMNO Malaysia, Rafiq Naizamohideen memberi masa selama 24 jam kepada Pang Ah Ngang untuk membuat permohonan maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

Selain itu, beliau turut mendesak agar Guru Besar sekolah terbabit dipecat kerana menurut beliau, Guru Besar tersebut telah gagal untuk memahami sensitiviti umat Islam negara ini.