KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh yang berada di Doha, Qatar menghubungi beliau semalam, memaklumkan mengenai situasi semasa di Palestin.

Muhyiddin berkata beliau amat terkesan mendengar perkhabaran daripada pemimpin Hamas itu berhubung keadaan masyarakat Islam di Palestin, khususnya Semenanjung Gaza, yang amat menyedihkan serta menyayat hati.

"Saya menzahirkan ucapan takziah dan dukacita bagi pihak seluruh rakyat Malaysia atas kehilangan nyawa serta kecederaan yang dialami rakyat Palestin akibat serangan ganas rejim Israel," katanya dalam hantaran menerusi laman Facebook rasmi beliau hari ini.

Dalam perbualan telefon itu, Muhyiddin berkata Ismail sangat menghargai keprihatinan rakyat Malaysia terhadap penderitaan rakyat Palestin dan berterima kasih atas bantuan berterusan yang diberikan.

Perdana Menteri turut menegaskan pendirian serta usaha telah dan sedang diambil Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin tatkala menghadapi detik sukar itu.

Beliau turut mengulangi komitmen Malaysia dalam mencari jalan untuk menghulurkan bantuan sewajarnya bagi membantu meringankan kesukaran rakyat Palestin.

 
Sumber Facebook ts.muhyiddin

Muhyiddin turut berkongsi keprihatinan dan inisiatif dilakukan badan bukan kerajaan di Malaysia serta rakyat Malaysia yang kini giat menganjurkan bantuan kemanusiaan serta bersolidariti dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin pada waktu mencabar ini.

Semalam dalam perutusan khasnya mengenai isu Palestin, Muhyiddin menyatakan Malaysia dukacita dan kesal dengan ketidakmampuan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghentikan serta-merta kekejaman Israel ke atas Palestin yang merupakan satu jenayah perang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949.

Dilaporkan pencerobohan dan serangan rejim zionis Israel ke atas rakyat Palestin kali ini bermula dengan serangan di Masjid al-Aqsa sejak 7 Mei lepas diikuti serangan udara di Semenanjung Gaza sejak Isnin lalu, yang mana hingga kini dilaporkan lebih 100 rakyat Palestin terkorban manakala beratus-ratus lagi cedera.

-- BERNAMA