Isu Palestin: Syed Saddiq sokong, bangga ketegasan PM

Ridauddin Daud
Oktober 26, 2023 05:58 MYT
Tegas Syed Saddiq, walaupun tidak lagi berada dalam kerajaan, beliau menyatakan rasa bangga dengan ketegasan ditunjukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memuji ucapan tegas Perdana Menteri berkaitan Palestin dalam Himpunan Malaysia Bersama Palestin pada Selasa lepas.
Menurutnya, ketegasan itu melambangkan kedudukan Malaysia di persada dunia dalam membela negara kecil yang ditekan dan tertekan seperti Palestin.
Tambah beliau, walaupun tidak lagi berada dalam kerajaan, beliau menyatakan rasa bangga dengan ketegasan ditunjukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya berasa sebagai Ahli Parlimen tidak kira kerajaan ataupun pembangkang, kita akan mendukung Perdana Menteri dalam situasi ini khususnya dalam mempertahankan bumi Palestin yang tertindas.
“Penderaan, seksaan, pembunuhan dan jenayah yang berlaku berskala besar, jika ada apa-apa ugutan ke atas PM kita perlu bersama mempertahankan.
“Saya berharap dalam bab ini ada pencerahan lanjut contohnya apa jenis ugutan dan siapa yang mengugut.
“Apa tindakan yang perlu diambil serta merta kerana ini adalah serius dalam bab hubungan antarabangsa,” katanya.
Tambah beliau, ugutan sebegitu sama seperti ugutan kepada Malaysia, kerana di persada dunia, pendirian Perdana Menteri adalah pendirian negara.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di bangunan Parlimen pada Khamis.
#Syed Saddiq Syed Abdul Rahman #Anwar Ibrahim #Himpunan Malaysia Bersama Palestin #ucapan tegas Perdana Menteri berkaitan Palestin