Isu PATI: 'Tanpa tindakan susulan, serbu setiap hari pun takkan selesai'

Astro Awani
September 19, 2017 04:09 MYT
Mustafar menyatakan, tanggungjawab membendung kemasukan PATI bukan hanya terletak di bahu jabatan imigresen semata-mata. - Gambar fail/BERNAMA
Jabatan Imigresen Malaysia memerlukan kerjasama pihak berwajib lain termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menangani kemasukan pendatang tanpa izin di negara ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, tanpa kerjasama jabatan dan agensi lain, isu terbabit tidak akan berkesudahan walaupun operasi dijalankan setiap hari.
“Di sini pelbagai kesalahan ada... ada yang tinggal lebih tempoh masa, berkerja lebih tempoh masa ataupun mereka datang sebagai pelancong tetapi bekerja. Ini adalah salah,” jelasnya.
Mustafar menyatakan, tanggungjawab membendung kemasukan PATI bukan hanya terletak di bahu jabatan imigresen semata-mata.
Sebaliknya, tegas beliau, semua pihak berkuasa perlu memainkan peranan dengan sewajarnya.
Katanya lagi, PBT ada kuasa merobohkan premis yang tidak mengikut peraturan.
Malah, menurutnya PBT juga patut membuat tindakan susulan ke atas premis yang diserbu jabatan imigresen.
“Saya hendak tekankan, kita akan cari juga majikan-majikan yang menggajikan.
“Kalau kita dapat tahu mereka bekerja di sebuah syarikat dan menggajikan orang-orang ini dan melindungi orang PATI ini, maka kami akan ambil tindakan.
Beliau berkata demikian dalam Ops Ikrar bersepadu di tiga lokasi penempatan haram sekitar kawasan perindustrian Kampung Baru Subang, awal pagi tadi.
#jabatan imigresen #Mustafar Ali #Ops Ikrar #pati #pbt #pihak berkuasa tempatan