Menteri dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus bertanggungjawab dan segera menyelesaikan isu matrikulasi kemasukan pelajar-pelajar cemerlang kaum India yang tidak ditawarkan kemasukan ke matrikulasi.

Ketua Biro Perpaduan Nasional Parti Gerakan, H. Puvaniten dalam satu kenyataan berkata, tindakan menteri PH mendiamkan diri dalam isu itu sungguh mendukacitakan.

Isu berkenaan sudahpun menjadi viral di laman media sosial sejak semalam dan telah wujud pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

"Isu ini telah menghampakan dan mengejutkan kaum India. Tiada sesiapapun harus tertinggal atau terpinggir dalam proses pendidikan negara. Di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional lepas, sebanyak 1,500 tempat telah diperuntukkan dari tahun 2012 sehingga 2017 kepada pelajar-pelajar India yang cemerlang.

"Kemudian jumlah ini telah dinaikkan kepada 2,200 tempat berdasarkan sasaran objektif Malaysian Indian Blue Print oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, iaitu kenaikan 7 peratus pelajar-pelajar India di IPTA negara," ujarnya.

Tambah Puvaniten, menteri PH harus menyemak rekod pelajar-pelajar cemerlang itu yang terpinggir dari proses kemasukan matrikulasi. Mereka adalah pelajar-pelajar cemerlang.

"Mengapa mereka ini tidak diberikan peluang kemasukan matrikulasi? Agak mengecewakan apabila hanya 1,000 tempat diperuntukan untuk pelajar-pelajar India," katanya.

Puvaniten berkata, perkara itu adalah suatu kekecewaan besar kepada masyarakat kaum India yang telah mengundi PH pada pilihan raya yang lepas yang kononnya akan mengubah kedudukan sosioekonomi semasa kaum India.

“Saya mengesa kerajaan Pakatan Harapan harus memberikan peruntukan yang asal iaitu 2,200 tempat matrikulasi kepada pelajar-pelajar India seperti biasa. Kalau ditambahkan lebih daripada 2,200, kami akan berterima kasih kepada kerajaan sekarang," ujarnya.