Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Isu pemain warisan: FIFA arah siasatan rasmi operasi dalaman FAM

Bernama 18/11/2025 | 07:15 MYT
FIFA mengarahkan siasatan terhadap FAM berhubung pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan, termasuk meneliti peranan Setiausaha Agung FAM dan dua ejen berlesen FIFA. -Gambar fail/FAM
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah mengarahkan sekretariat untuk segera menjalankan siasatan terhadap operasi dalaman Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan.


Ringkasan AI
  • FIFA mengarahkan siasatan terhadap FAM berhubung pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan, termasuk meneliti peranan Setiausaha Agung FAM dan dua ejen berlesen FIFA.
  • Siasatan juga melibatkan penglibatan pemain dalam tiga perlawanan persahabatan serta menentukan tindakan tambahan yang perlu diambil terhadap mereka.
  • FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 dan setiap pemain didenda CHF2,000, manakala kesemua tujuh pemain digantung daripada aktiviti bola sepak selama 12 bulan berikutan kesalahan pemalsuan dokumen rasmi yang dilakukan.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Menurut dokumen keputusan 63 muka surat dikeluarkan badan pengelola bola sepak dunia itu hari ini, siasatan berkenaan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab terhadap pemalsuan dokumen tersebut.

Siasatan itu juga untuk menilai kesesuaian dan keberkesanan mekanisme pematuhan serta tadbir urus dalaman FAM, serta menentukan sama ada tindakan tatatertib tambahan perlu dikenakan terhadap pegawai FAM.

"Fokus utama siasatan perlu meneliti peranan Setiausaha Agung FAM (Datuk Noor Azman Rahman) serta dua ejen berlesen FIFA yang dinamakan dalam prosiding iaitu Nicolas Puppo dan Frederico Moraes.

"Penglibatan mereka menimbulkan kebimbangan serius yang wajar diteliti," menurut kenyataan itu.

Jawatankuasa berkenaan turut mengarahkan sekretariat memulakan siasatan berasingan mengenai penglibatan pemain terbabit dalam tiga perlawanan persahabatan yang disebut dalam kes ini.

Jawatankuasa Rayuan FIFA memaklumkan siasatan berkenaan akan meneliti keadaan beberapa pemain terlibat serta menentukan sama ada tindakan tambahan wajar dikenakan, sambil mendedahkan bahawa kesemua tujuh pemain warisan dilahirkan di luar negara.

Jawatankuasa berkenaan turut mendapati pemain terbabit dilahirkan di luar negara dengan Gabriel Felipe Arrocha dilahirkan di Santa Cruz de la Palma, Sepanyol, Facundo Garces (Santa Fe, Argentina), Rodrigo Holgado (Buenos Aires, Argentina), Imanol Manchuca (Rosario, Argentina), Joao Figueiredo (Sao Paolo, Brazil), Jon Irazabal (Bilbao, Sepanyol) dan Hector Hevel (Leidschendam, Belanda).

Sementara itu, berikutan keseriusan kesalahan berkenaan khususnya pemalsuan dokumen rasmi, jawatankuasa turut mengarahkan sekretariat mengambil langkah sewajarnya untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa di Brazil, Argentina, Belanda, Sepanyol serta Malaysia.

"Pemalsuan merupakan satu kesalahan jenayah di negara-negara ini, dan adalah penting agar pihak berkuasa berkenaan dimaklumkan supaya siasatan serta prosiding jenayah sewajarnya dapat dijalankan," katanya.

Pada 3 Nov lepas, FIFA menolak rayuan dikemukakan FAM dan tujuh pemain warisan.

Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan hukuman dikenakan Jawatankuasa Tatatertib terhadap FAM dan tujuh pemain warisan berkaitan kesalahan pemalsuan dokumen di bawah Perkara 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).

Sebelum ini, FIFA mendakwa FAM telah mengemukakan dokumen yang dipalsukan untuk mengesahkan kelayakan pemain berkenaan, sekali gus membolehkan mereka beraksi dalam perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun, yang menyaksikan Malaysia menang 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sekretariat juga berjaya memperoleh salinan asal sijil kelahiran nenek atau datuk kepada pemain terbabit.

Butiran diperoleh membabitkan Gabriel Felipe Arrocha (Maria Belen Concepcion Martin lahir di Santa Cruz de la Palma, Sepanyol), Facundo Garces (Carlos Rogelio Fernandez lahir di Villa Maria Selva, Santa Fe de la Cruz, Argentina), Rodrigo Holgado (Omar Eli Holgado Gardon lahir di Caseros, Buenos Aires, Argentina),Imanol Manchuca (Concepcion Agueda Alaniz lahir di Roldan, Argentina), Joao Figueiredo (Nair de Oliveira lahir di Abre Campo, Brazil), Jon Irazabal (Gregorio Irazabal y Lamiquiz lahir di Villa de Guernica y Luno, Viscaya, Sepanyol) dan Hector Hevel (Hendrik Jan Hevel lahir di The Hague, Belanda).

Bagaimanapun, maklumat dikemukakan FAM menyatakan bahawa Maria Belen Concepcion Martin berasal dari Melaka, Carlos Rogelio Fernandez (Pulau Pinang), Omar Eli Holgado Gardon (George Town), Concepcion Agueda Alaniz (Pulau Pinang), Nair de Oliveira (Johor), Gregorio Irazabal y Lamiquiz (Kuching) dan Hendrick Jan Hevel (negeri-negeri Selat Melaka).

Susulan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (lebih kurang RM11,000), dan kesemua tujuh pemain digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.

-- BERNAMA


Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah arahan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA terhadap sekretariat berkenaan siasatan pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan FAM?
    A: Jawatankuasa Rayuan FIFA mengarahkan sekretariat untuk menjalankan siasatan terhadap operasi dalaman FAM berkaitan pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan.
  • Q: Siapakah individu yang menjadi tumpuan siasatan dalam pemalsuan dokumen pemain warisan FAM?
    A: Siasatan akan meneliti peranan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, serta dua ejen berlesen FIFA, Nicolas Puppo dan Frederico Moraes.
  • Q: Apakah tindakan yang diambil oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA terhadap FAM dan tujuh pemain warisan berkenaan pemalsuan dokumen?
    A: Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan hukuman yang dikenakan Jawatankuasa Tatatertib terhadap FAM dan tujuh pemain warisan berkaitan kesalahan pemalsuan dokumen di bawah Perkara 22 Kod Tatatertib FIFA.
  • Q: Apakah kesan hukuman yang dikenakan kepada FAM dan tujuh pemain warisan berkaitan pemalsuan dokumen?
    A: FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000, manakala setiap pemain didenda CHF2,000, dan kesemua tujuh pemain digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.
  • Q: Apakah langkah yang diambil oleh sekretariat berkenaan pemalsuan dokumen pemain warisan FAM?
    A: Sekretariat berjaya memperoleh salinan asal sijil kelahiran nenek atau datuk kepada pemain terbabit bagi memeriksa keaslian dokumen yang dipalsukan.



#FIFA #FAM #pemain warisan #pemalsuan dokumen