Isu penahanan kru seludup dadah ke Australia: Ini jawapan Malindo Air

Afiq Ariffin
Januari 16, 2019 09:30 MYT
Menurut kenyataan tersebut Malindo Air menyatakan bahawa pihaknya belum menerima sebarang respon daripada kru terlibat ataupun AFP mengenai penahanan tersebut.
Syarikat penerbangan Malindo Air menerusi kenyataannya mengesahkan bahawa seorang daripada kru kabinnya ditahan oleh Polis Persekutuan Australia (AFP) pada 7 Januari lalu kerana terlibat dengan kes penyeludupan dadah.
Menurut kenyataan tersebut, Malindo Air menegaskan bahawa pihaknya belum menerima sebarang respon daripada kru terlibat ataupun AFP mengenai penahanan tersebut.
“Walau bagaimanapun, kami telah mengemukakan perkara itu dengan pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Melbourne setelah mengetahui penahanan tersebut,” kata wakil syarikat itu menerusi kenyataan tersebut.
Menurut syarikat penerbangan berkenaan, pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak berkuasa sama ada di Australia atau di Malaysia dalam hal ini dan kru kabin tersebut juga telah digantung tugas serta merta.
Syarikat tersebut turut menegaskan bahawa mereka tidak mengizinkan sebarang tindakan yang bersifat jenayah atau salah laku oleh kakitangannya.
Selain itu, Malindo juga akan bekerja dengan lebih rapat dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan bahawa semua kru penerbangan dan kabinnya bertindak secara profesional dan mematuhi norma dan undang-undang antarabangsa yang ada pada setiap masa.
Pihak berkuasa mendakwa jenayah terancang tersebut berpengkalan di Melbourne dan telah menyeludup lebih 14.4 juta dollar Amerika dadah jenis Heroin dan Methamphetamine.
#AFP #Australia #Dadah #Malindo Air #Melbourne #penerbangan #penyeludupan dadah #polis #Polis Persekutuan Australia #undang-undang