PUTRAJAYA: Pemilik tanah yang berdepan isu pencerobohan perlu menggunakan saluran undang-undang bagi melindungi hak mereka dan tidak boleh bertindak sendiri untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata sebarang pertikaian hak milik atau bantahan terhadap pembinaan di atas tanah yang didakwa diceroboh perlu direkodkan secara rasmi sama ada melalui laporan polis atau notis guaman.
Advertisement
"Pendaftaran bantahan mesti direkodkan, sama ada laporan polis atau pun pakai surat peguam...saya yakin sistem kita ini masih tertib, anda kena ikut.
“Tetapi jika anda mengambil tindakan sendiri, takut benda ini jadi lebih (teruk)...sebab isu ini banyak menekankan pada isu kepercayaan dan agama, sensitiviti dia lain sikit," katanya kepada media selepas Majlis Peluncuran Program Pelepasan Dasar Kedua - Fast Track 2026, di sini hari ini.
Azalina mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang menyeru pemilik tanah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dan tindakan pendakwaan dilakukan sekiranya kesalahan pencerobohan dapat dibuktikan.
Beliau berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) bersedia menawarkan perkhidmatan mediasi kepada pihak yang mempunyai pertikaian dalam sesuatu isu.
"Tak semestinya mesti pergi ke mahkamah. Kalau kita pergi ke mediasi, ia dapat membantu dari segi kecepatan penyelesaian konflik dan juga dapat membantu dari segi kos kewangan yang mungkin tidak begitu tinggi kalau pakai guaman swasta,” katanya.
-- BERNAMA