Skip to main content

Malaysia

Isu pendatang asing: Imigresen ambil serius kebimbangan penduduk Janda Baik

Zakaria berkata kehadiran pendatang asing di kawasan itu dipengaruhi faktor peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi setempat, khususnya sektor pelancongan yang melibatkan resort, chalet dan premis penginapan. - Gambar fail
Zakaria berkata kehadiran pendatang asing di kawasan itu dipengaruhi faktor peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi setempat, khususnya sektor pelancongan yang melibatkan resort, chalet dan premis penginapan. - Gambar fail

Advertisement

KUANTAN: Jabatan Imigresen (JIM) mengambil serius kebimbangan penduduk berhubung kehadiran dan penglibatan pendatang asing dalam aktiviti ekonomi di Janda Baik, Bentong seperti dilaporkan media semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata pihaknya melaksanakan operasi di lapan lokasi sekitar kawasan itu pada 24 April lepas dengan 38 pendatang asing ditahan dipercayai melakukan pelbagai kesalahan hasil pemeriksaan terhadap 82 individu. 

“Usaha ini akan diteruskan melalui peningkatan pemantauan, risikan dan operasi penguatkuasaan berdasarkan maklumat serta aduan yang diterima dengan tindakan sewajarnya dikenakan terhadap pihak yang melanggar undang-undang imigresen,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata kehadiran pendatang asing di kawasan itu dipengaruhi faktor peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi setempat, khususnya sektor pelancongan yang melibatkan resort, chalet dan premis penginapan.

Zakaria berkata keadaan itu juga berpotensi membuka ruang kepada kegiatan menggaji pendatang asing secara tidak sah serta penyediaan penempatan yang melanggar undang-undang.

Beliau berkata JIM terus memperkukuh penguatkuasaan berasaskan risikan dengan menumpukan juga kepada majikan, pemilik atau pengendali premis serta pihak yang menggaji, melindungi atau membenarkan pendatang asing tinggal di premis mereka.

“Tindakan boleh dikenakan terhadap pihak yang melanggar Akta Imigresen 1959/63. JIM turut memperkukuh kerjasama strategik dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi penguatkuasaan berkaitan melalui perkongsian maklumat serta penyelarasan tindakan mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya. 

Zakaria turut menyatakan penghargaan atas kerjasama diberikan penduduk setempat dan persatuan penduduk dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan yang disyaki melanggar undang-undang imigresen.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement