KUCHING:Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2021), 2020 dan usul untuk merujuk resolusi anggaran perbelanjaan pembangunan bagi tahun 2021 mendapat sokongan kuat daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak.

Rata-rata ADUN yang berhujah mengukuhkan prinsip Belanjawan 2021 negeri itu dengan menggariskan jangkaan impak positif yang bakal diterima oleh rakyat untuk tahun-tahun akan datang.

Menurut ADUN Tupong, Fazruddin Abdul Rahman, selain pembangunan luar bandar, sebuah sistem pekerjaan yang khas boleh diwujudkan bagi mengurangkan jumlah pengangguran dalam negeri.

“Selain itu, saya ingin mencadangkan agar kerajaan Sarawak membina platform JobsSarawak seperti JobsMalaysia.

“Platform ini boleh memberi fokus kepada peluang pekerjaan yang ada untuk rakyat Sarawak”, tambahnya.

Sementara itu, ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing turut menyokong RUU tersebut dengan melihat kesan jangka panjang belanjawan itu kepada program naik taraf infrastruktur asas di setiap daerah di Sarawak.

Merangkap Biro Pendidikan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), beliau berharap kerajaan negeri mewujudkan kembali jawatankuasa untuk mengatasi isu kanak-kanak tanpa kad pengenalan yang masih berlaku di negeri itu.

“Kadang-kadang sangat mengecewakan apabila melihat anak-anak yang disahkan oleh ketua tempatan bersama masyarakat sejak lahir tetapi dinafikan kewarganegaraan kerana isu teknikal.

“Saya mendesak kerajaan negeri untuk menyatakan tekad kita untuk mengatasi masalah anak tanpa kad pengenalan dengan kerajaan persekutuan dengan membuat beberapa jenis aturan untuk mengatasi masalah ini sekali dan selamanya”, ujarnya.

ADUN Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata RM9.832 billion yang diperuntukkan bagi perbelanjaan operasi dan pembangunan bakal membiayai pelbagai projek untuk kesejahteraan penduduk luar bandar.

“Di Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), kawasan Murum turut terlibat dalam beberapa projek pembangunan teramsuklah kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik.

“Masih terdapat kawasan-kawasan di Murum yang belum lagi menikmati kemudahan asas seperti di  Sg. Asap, Sg. Belaga, Long Urun, Metalun, Tegulang dan Sg. Linau,” tambahnya.

Perbahasan RUU Perbekalan (2021), 2020 ini akan diteruskan pada hari keempat persidangan dengan peruntukkan 15 minit untuk setiap ADUN memberikan hujah.