IPOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak telah merekodkan keterangan 10 individu bagi membantu siasatan berhubung isu penjualan tanah pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

Pengarah SPRM Perak Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata mereka terdiri daripada pegawai Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan kerajaan negeri, bekas Exco kerajaan negeri serta pegawai Pejabat Tanah dan Galian.

"Seorang Ahli Lembaga Pengarah PKNP merangkap bekas Penasihat Undang-Undang Negeri juga telah dirakam kenyataannya. SPRM hari ini akan merakam keterangan seorang lagi Ahli Lembaga Pengarah PKNP yang turut hadir dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah berkaitan perbincangan penjualan tanah PKNP," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata pihaknya dijangka merakam kenyataan seorang lagi saksi penting dalam masa terdekat sebelum kertas siasatan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk penelitian.

Menurutnya setakat ini tiada penahanan terhadap mana-mana individu yang dikatakan terlibat dengan kesalahan berkaitan penjualan tanah lapangan terbang itu dan siasatan masih menjurus kepada kesalahan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 iaitu menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan dan lain-lain kesalahan di bawah akta itu.

Sebelum ini, Mohd Fauzi dilaporkan berkata pihaknya akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan susulan aduan rasmi diterima daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Manjoi Datuk Asmuni Awi pada 5 April lepas.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad pula dilaporkan berkata tanah itu telah dijual kepada sebuah syarikat swasta semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan kerana ketika pemerintahan Barisan Nasional, ia dirizabkan kepada PKNP bagi tujuan pembinaan lapangan terbang antarabangsa.

-- BERNAMA