PUTRAJAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mempertimbangkan syor dan cadangan yang dikemukakan bekas menteri sebelum ini, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berhubung isu pentauliahan ceramah agama.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, ia termasuklah syor mengenai pengecualian atau pemberian pentauliahan khas kepada tokoh agama atau ulama yang dikenali dengan kealiman dan kedudukan.

"Kita ambil maklum dan sebagai agensi pelaksana, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan berusaha," katanya,

Bagaimanapun beliau berkata, isu pentauliahan itu terletak di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

"Saya serahkan kepada kebijaksanaan negeri-negeri," ujar beliau menerusi sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Jakim bagi program ijazah sarjana muda pengajian Quran dan Sunnah pada Rabu.

Sebelum itu, Zulkifli menerusi hantaran di laman Facebooknya menyenarai lima syor serta cadangan bagi membantu menyelesaikan isu pentauliahan yang polemik.

Syor tersebut adalah pemantauan berkala perlu dibuat bagi memastikan apa yang disampaikan oleh pemegang Tauliah Mengajar selari dengan undang-undang yang dikuatkuasakan.

Pengecualian dan tauliah khas juga dicadangkan diberi kepada tokoh-tokoh politik dengan syarat tidak ada isu politik kepartian disentuh dan subjek pengajaran seperti al-Siyasah al-Syar’iyyah perlu dikekalkan untuk diajar di masjid dan surau oleh pemegang Tauliah Mengajar berkelayakan.


Selain itu, Zulkifli yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan mencadangkan ujian permohonan Tauliah Mengajar diselaras di seluruh negara dengan titah perkenan Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan raja-raja di peringkat negeri. - Sinar Harian