Isu persempadanan N. Sembilan dengan Melaka, Selangor, Pahang selesai - MB

Bernama
Ogos 12, 2020 11:56 MYT
Datuk Seri Aminuddin Harun bagaimanapun berkata, isu membabitkan persempadanan dengan Johor masih belum selesai dan dalam proses perbincangan. - Gambar fail/BERNAMA
Isu persempadanan darat dan maritim antara Negeri Sembilan dengan Melaka, Selangor dan Pahang telah pun diselesaikan sepenuhnya, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau berkata bagaimanapun, isu membabitkan persempadanan dengan Johor masih belum selesai dan dalam proses perbincangan.
"Status pelaksanaan projek penandaan dan pengukiran sempadan darat antara Negeri Sembilan dengan Melaka, Pahang dan Selangor telah selesai... hanya tinggal Johor sahaja yang belum selesai.
"Persempadanan ini adalah untuk pembangunan bersama di kawasan sempadan dan kita tidak mahu berlaku pertikaian nanti selain ia memudahkan perancangan pembangunan di kawasan sendiri," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Aminuddin mengingatkan agensi penguat kuasa dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini supaya tidak melindungi mana-mana pihak yang melakukan kegiatan menyalahi undang-undang dan mengambil iktibar daripada insiden yang berlaku di Sungai Buloh, Selangor.
"Saya berharap kejadian sama tidak berlaku di negeri ini dan tadi pun (semasa mesyuarat Exco) kami tekankan bahawa PBT harus lebih berintegriti dan tegas dalam menjalankan tugas-tugas mereka.
"Meskipun setakat ini tiada menerima laporan mengenai kegiatan seumpama itu, masyarakat yang mempunyai maklumat berkaitan diminta supaya menyalurkan maklumat itu kepada pihak berkuasa supaya tindakan dapat diambil," katanya.
Dalam pada itu, menteri besar berkata mereka yang menyalurkan maklumat mengenai kegiatan judi haram di negeri ini akan dilindungi pihak berkuasa.
Baru-baru, tular dua klip video yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali sebagai Asri Janggut, yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi, serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.
Susulan pendedahan itu, SPRM melakukan siasatan terhadap dakwaan berkenaan dan mendapat kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, bagi menyiasat dakwaan tersebut.
-- BERNAMA
#Aminuddin Harun #Johor #Melaka #Menteri Besar Negeri Sembilan #Negeri Sembilan #Pahang #persempadanan darat dan maritim #Selangor