Skip to main content

Malaysia

Isu peruntukan KKDW: Tunku Nashrul minta Fadzmel semak semula fakta

Sumber: BERNAMA
Tunku Nashrul berkata kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MoF) mengenai perkara itu dibuat berdasarkan fakta dan bukan secara semborono. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah menggesa Setiausaha Akhbar Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Fadzmel Fadzil menyemak semula fakta berhubung isu peruntukan dan pembayaran kepada kontraktor bagi projek jalan luar bandar.

Beliau berkata kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MoF) mengenai perkara itu dibuat berdasarkan fakta dan bukan secara semborono.

"Elok saudara Fadzmel semak semula fakta. Saya yakin kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan tidak dibuat secara semborono.

"Saya kenal Tan Sri KSP sebagai penjawat awam kanan yang teliti dan cekap. Dalam urusan kewangan negara, sudah tentu beliau lebih arif.

"Janganlah serang penjawat awam dengan cara begini. Gunalah saluran yang betul untuk berbincang dengan MoF, bukan bermula dengan membuat bising di luar," katanya dalam kenyataan yang dikongsikan kepada Astro AWANI hari ini.

Pada Rabu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata MOF tidak mengenakan sebarang sekatan terhadap peruntukan KKDW bagi projek jalan luar bandar, malah peruntukan berkenaan telah disalurkan sepenuhnya kepada kementerian itu.

Bagaimanapun, beliau berkata kekangan dalam proses pembayaran kepada kontraktor timbul apabila peruntukan tahun semasa hampir dibelanjakan sepenuhnya.

Menurut Johan, KKDW telah membuat komitmen dan perbelanjaan melebihi jumlah peruntukan yang diluluskan bagi projek jalan luar bandar sejak beberapa tahun lalu.

"KKDW telah membuat komitmen serta membelanjakan peruntukan melebihi jumlah yang diluluskan bagi projek jalan luar bandar sejak beberapa tahun lalu," katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Fadzmel menafikan dakwaan Johan bahawa KKDW berbelanja melebihi peruntukan yang diluluskan.

Beliau menegaskan Tatacara Pengurusan Kewangan Kerajaan tidak membenarkan sebarang perbelanjaan dibuat melebihi peruntukan yang telah diluluskan, sekali gus menghalang kementerian daripada berbelanja sesuka hati.

Menurutnya, sekiranya berlaku perbelanjaan yang tidak teratur atau melebihi peruntukan, perkara itu tertakluk kepada Arahan Perbendaharaan.

Katanya, sistem kewangan kerajaan juga tidak membenarkan sebarang projek atau program dibelanjakan tanpa perincian serta peruntukan yang telah diluluskan terlebih dahulu.

 

 

Must Watch Video

Advertisement