GERIK: Kerajaan negeri Perak mengalami kerugian jutaan ringgit akibat tindakan sekumpulan petani di Kanthan, Tambun yang mengusahakan aktiviti pertanian secara haram di tapak projek Silver Valley Technology Park (SVTP), milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerugian itu, disebabkan tindakan petani tersebut tidak membayar premium dan cukai tanah pertanian serta lesen pendudukan sementara (TOL), sejak mereka mengusahakan aktiviti pertanian secara haram sejak 11 tahun lalu.

"Sebab itu kita buat keputusan, kita nak legalise usaha mereka. Kita bagi tanah ganti supaya mereka dapat membayar premium tanah dan TOL kepada kerajaan negeri, dan kita mendapat hasil (daripada aktiviti pertanian tersebut).

"Saya faham itu bukan kehendak semua petani, kerana ada sebahagian petani yang telah bersetuju menerima tawaran daripada kerajaan negeri, tetapi ada sekumpulan orang politik yang mahu menjadi hero dengan mempengaruhi petani tersebut," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan cermin mata bagi Program Yayasan Perak Eye Sinar 2023, bersempena Majlis Bicara Profesional dan Apresiasi Menteri Besar bersama warga pendidik, di Dewan Dato' Haji Hasbullah Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Perak, di sini pada Jumaat.

Pada Selasa, polis menahan empat individu, termasuk Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Michael Jeyakumar, kerana cuba menghalang pengusiran petani di Kanthan, Tambun.

Turut ditahan kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas ialah Ahli Jawatankuasa PSM R Karthiges, anggota Pemuda PSM Perak P Kesavan, dan seorang petani yang dikenali sebagai Ho Pon Tien.

Pada Khamis, Pejabat Menteri Besar Perak menafikan dakwaan bahawa berlaku penganiayaan dan pengusiran secara paksa sekumpulan petani di Kanthan, Tambun kerana proses pengosongan tanah yang dilakukan mengikut saluran undang-undang.

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata pihaknya telah mengemukakan cadangan tiga lokasi bagi membuka kilang unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) lantanid, kepada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

"Kita belum menetapkan lagi di mana akan dibuka kilang memproses lantanid ini, kerana kita perlu mendapatkan kelulusan daripada NREC.

"Ini kerana hanya kerajaan Persekutuan sahaja yang memberi kebenaran kepada Perak, untuk membuka pusat perindustrian bagi mengasingkan elemen mentah kepada sekurang-kurangnya 15 elemen lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada program Bicara Profesional dan Apresiasi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad Bersama-Sama Warga Pendidik Daerah Hulu Perak, di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Perak.

Saarani berkata tiga lokasi yang dicadangkan ialah kawasan perindustrian di daerah Mualim, Ipoh dan Hulu Perak dan cadangan lokasi pertama yang dikemukakan ialah di kawasan Pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV), berhampiran dengan Proton City di Tanjung Malim.

"Proton City merupakan kawasan AHTV, jadi sudah tentu penggunaan bagi elemen-elemen lantanid yang diekstrak, sangat berguna kepada vendor di sana.

"Tetapi jika cadangan itu ditolak, kita mempunyai lokasi kedua yang dicadangkan iaitu di Silver Valley Technology Park (SVTP) di Khantan Baharu di Ipoh, serta lokasi ketiga di Gerik memandangkan lombong lantanid itu terletak di daerah Hulu Perak," katanya.

Pada 4 Okt, Saarani dilaporkan berkata kerajaan negeri telah mendapat persetujuan daripada NRECC untuk membangunkan sebuah makmal bagi NR-REE lantanid di negeri.

Saarani berkata makmal tersebut ditubuhkan bersama Menteri Besar Incorporated (MB Inc Perak), Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

-- BERNAMA