KUALA LUMPUR: Kerajaan boleh menggunakan pihak ketiga seperti Amerika Syarikat dan Turki sebagai medium alternatif untuk menyelesaikan isu antara kerajaan baharu Sudan dan syarikat minyak Petronas.

Pakar kajian strategik dan anti keganasan, Mohd Mizan Aslam berkata, selain itu, gerakan seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga perlu memainkan peranan sebagai usaha mencari penyelesaian terhadap masalah berkenaan.

Mizan berkata, langkah dan penyelesaian efektif diperlukan memandangkan ia bukan sahaja melibatkan aset Petronas, tetapi juga hubungan antara dua negara serta nasib rakyat Malaysia yang berada di sana.

"Kita boleh menggunakan apa yang dipanggil third party atau pihak ketiga yang berusaha mengharmonikan isu yang berlaku. Jadi peluang sebenarnya harus dimainkan dengan cukup bijak.

“Contohnya, bila kerajaan Sudan yang kita lihat hari ini ada hubungan baik dengan contohnya Amerika Syarikat atau mugkin dengan Turki, maka kita harus guna saluran negara tersebut untuk menyelesaikan isu ini,” kata Mohd Mizan kepada Astro AWANI.

Selain itu, Mohd Mizan berkata, kerajaan juga perlu menghantar wakil atau berhubung terus dengan kerajaan Sudan kerana ia boleh membawa kepada perbincangan yang lebih telus dan terbuka.

Pada Selasa, syarikat minyak negara, Petronas mengambil tindakan undang-undang terhadap Sudan selepas kerajaan sementara negara itu mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas pegawainya.



Isu Petronas | Wisma Putra panggil Kuasa Usaha Sudan

BACA: Isu Petronas: Hormati perjanjian, Wisma Putra panggil Kuasa Usaha Sudan 

BACA: Waran tangkap ke atas bekas pegawai, Petronas ambil tindakan undang-undang terhadap Sudan 

Langkah itu susulan negara itu merampas aset Petronas di sana.

Selain itu, Wisma Putra juga memanggil buat kali kedua Kuasa Usaha Sudan, Omer Oushek bagi menyampaikan kebimbangan Malaysia berkait isu melibatkan Kompleks Petronas Sudan di Khartoum.

Dalam pada itu, Mohd Mizan berkata, pelaburan yang dilakukan oleh Petronas sejak kemasukan ke negara itu 20 tahun lepas, terutamanya dalam sektor pembangunan industri minyak serta memajukan negara tersebut, menunjukkan kepentingan agar isu itu diselesaikan dengan segara.

“Kita mungkin boleh terus untuk janjikan bantuan atau kebajikan, berikan lebih banyak peluang untuk biasiswa dan latihan kepada bukan saja kepada pelajar, tapi juga kepada kerajaan yang ada hari ini. Ini penting supaya hubungan dua hala terus terjalin.

“Perkara ini harus dimainkan secara bijak dan mungkin secara serentak oleh pelbagai entiti… tetapi perlu ada koordinasi oleh pelbagai pihak, termasuk universiti-universiti. Kita khuatir, sekiranya tiada penyelesaian tuntas, mungkin akan terlepas aset kita kerana Petronas sudah bangunkan dengan cukup susah payah,” katanya lagi.