Kerajaan Pulau Pinang diminta mengaturkan pertemuan dengan 22 penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis di George Town bagi memberi penjelasan berhubung tindakan pengusiran yang dilakukan terhadap mereka pada Rabu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, pertemuan bersama dengan penduduk itu penting untuk kedua-dua pihak mendengar sendiri masalah berkaitan bagi mengelak kekeliruan mahupun salah faham tanpa campur tangan pihak lain.

Beliau berkata masalah itu sukar untuk diatasi sekiranya terdapat ejen lain yang mengganggu hingga menimbulkan masalah lain.

Justeru, beliau percaya kerajaan negeri dapat menyelesaikan masalah itu tanpa menjejaskan mana-mana pihak.

Jelasnya, beliau sendiri sudah menerima penjelasan daripada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan , Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar Dan Desa, Jagdeep Singh Deo dan beliau berpuas hati dengan penjelasan tersebut.

"Saya amat berharap kerajaan negeri akan dapat buat satu pertemuan yang lebih mesra untuk mendengar pandangan penduduk.

"Saya cadangkan buat pertemuan dan buat mesyuarat yang lebih berstruktur dan yang boleh memudahkan mereka menerima keputusan kerajaan negeri. Pada masa sama, boleh jadi fasilitator untuk membantu," ujar Zuraida.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai masalah yang dihadapi penyewa PPR Taman Manggis yang diusir hingga ada yang 'berkampung ' di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) berikutan tiada tempat tinggal.

Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia Peringkat Pulau Pinang di Dewan SP Arena, di Seberang Jaya pada Jumaat.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, pihaknya akan menguatkuasakan undang-undang dengan lebih tegas dalam mendidik masyarakat supaya mematuhi pelaksanaan peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ditanya mengenai isu berkenaan kekurangan unit PPR di negeri itu, Zuraida berkata KPKT sudah mengenalpasti kawasan pembinaan unit PPR baharu iaitu di Gelugor, Teluk Kumbar dan Balik Pulau.

Katanya, kerajaan persekutuan merancang untuk menggunakan satu tanah asalnya ditandakan sebagai Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PR1MA di Kg Kastam, Gelugor, untuk projek PPR.

Secara ringkas, katanya di peringkat kebangsaan, kerja-kerja sedang dijalankan untuk memperkenalkan.

Pada Rabu, kira-kira 22 penyewa diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing selepas hilang kelayakan menduduki rumah PPR termasuk melebihi kemampuan, mempunyai rumah lain dan berkahwin dengan warga asing.

Ekoran kejadian itu, enam penyewa bertindak berkampung di perkarangan bangunan pentadbiran kerajaan negeri di Komtar sebagai protes dengan tindakan tersebut selain mendakwa tidak mempunyai rumah.