Kerajaan Pulau Pinang akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk semakan kehakiman bagi mendapatkan deklarasi untuk membatalkan kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengisytiharkan Unit Peronda Sukarela Pulau Pinang (PPS) sebuah organisasi haram.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata beliau telah menghubungi pengamal undang-undang terkemuka seperti Tommy Thomas, Datuk Malek Imtiaz, Datuk Ambiga Sreenevasan dan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap Ahmad Zahid.

Katanya, Ahmad Zahid bertindak dengan niat jahat dan secara mala fide dalam mengisytiharkan PPS sebuah organisasi haram.

"Kerajaan negeri Pulau Pinang akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk semakan kehakiman bagi mendapatkan deklarasi untuk membatalkan kenyataan Ahmad Zahid yang termasuk menyita aset dan harta serta meminta ganti rugi.

"Walaupun PPS tidak mempunyai aset atau harta, pengakuan ini menyalahi undang-undang oleh Ahmad Zahid telah menjejaskan reputasi ahli-ahli PPS, dengan dakwaan tidak berasas bahawa ahli-ahli PPS mengancam keamanan dan ketenteraman awam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata biarpun Menteri Dalam Negeri boleh mempunyai budi bicara mutlak di bawah Akta Pertubuhan, keputusan dan tindakannya boleh dikaji semula oleh mahkamah.

Katanya, keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Rohana Yusuf pada tahun 2012 yang membatalkan perintah Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengisytiharkan Bersih 2.0 entiti haram sebagai bukti keputusan menteri KDN boleh dikaji semula.

Beliau juga menjelaskan sehingga hari ini, tidak ada komunikasi tidak rasmi atau notis rasmi oleh Kementerian Dalam Negeri bahawa PPS adalah sebuah organisasi yang menyalahi undang-undang.

"Apakah jenis kerajaan yang kita bicarakan yang membuat perintah dan arahan melalui kenyataan akhbar dan tidak melalui dokumen rasmi?

"Jelas serangan bermotifkan politik terhadap PPS, apabila ia berfungsi sebagai satu rangkaian popular di peringkat akar umbi yang menanamkan semangat sukarelawan dan pembentukan warganegara yang bertanggungjawab," katanya lagi.

PPS telah ditubuhkan oleh Kerajaan Pulau Pinang 4 tahun yang lalu dan telah bekerjasama dengan pihak polis selama empat tahun tanpa sebarang masalah.

Sejak 1 September 2014, semua anggota PPS telah menghentikan semua aktiviti yang berkaitan dengan kepolisan komuniti dan perkhidmatan menyelamat kecemasan.

"Kerajaan negeri menggesa semua ahli bertenang dan tunggu sehingga kes diputuskan di mahkamah.

"Kerajaan negeri bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak berkuasa dengan cara yang aman dan teratur, dengan syarat mereka mempunyai dokumentasi rasmi bertulis," katanya.

Pada 4 November lepas, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengisytiharkan PPS sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966.

Sebaik ia diisytiharkan haram, tiada sesiapa tidak boleh menggunakan semula simbol, lambang atau logo PPS berdasarkan peruntukan Seksyen 7 (3) (b) Akta Pertubuhan 1966. Segala aset PPS juga perlu diserahkan kepada Jabatan Insolvensi Malaysia.

Jika arahan itu tidak dipatuhi, mereka boleh didakwa di bawah Akta Pertubuhan 1966.