Isu privasi tidak relevan dalam serbuan Ops Songsang - Saifuddin

Saifuddin berkata polis akan terus menjalankan tanggungjawab dan kewajipan membanteras aktiviti tidak bermoral mengikut undang-undang sedia ada. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa dakwaan kononnya pihak berkuasa telah menceroboh privasi individu dalam serbuan Ops Songsang di Chow Kit pada Sabtu lalu adalah tidak wajar dan tidak berasas.
Ringkasan AI
- Menteri Dalam Negeri tegaskan dakwaan menceroboh privasi individu dalam Ops Songsang di Chow Kit tidak berasas, disebabkan aktiviti dilakukan secara terbuka dalam kelompok besar.
- Saifuddin Nasution menegaskan aktiviti tidak bermoral tidak boleh diterima dalam mana-mana agama, merujuk kepada pandangan sesetengah NGO yang mempertahankan hak privasi individu.
- Polis akan terus melaksanakan tugas tanpa kompromi terhadap pelanggaran norma sosial dan perundangan, walaupun individu dalam serbuan Ops Songsang dibebaskan kerana kekurangan bukti untuk pendakwaan.
"Polis perlu mengimbangi tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang terhadap aktiviti tidak bermoral dengan hak sivil individu,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Simposium Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) di sini, pada Selasa.
Saifuddin turut mengulas pandangan sesetengah pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempertahankan hak privasi individu, dengan menegaskan bahawa perbuatan tidak bermoral tidak boleh diterima dalam mana-mana agama.
“Bergantung kepada sudut pandang, tetapi NGO juga perlu melihat dari perspektif bahawa perbuatan seperti ini tidak boleh dipertahankan dari segi moral mahupun agama,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa pihak polis akan terus melaksanakan tugas mereka berdasarkan undang-undang sedia ada, tanpa kompromi terhadap pelanggaran norma sosial dan perundangan.
Terdahulu, Saifuddin mengakui terdapat keperluan untuk meneliti semula perundangan berkaitan aktiviti tidak bermoral, khususnya melibatkan perbuatan luar tabii yang kini semakin berleluasa di premis-premis tertutup.
Dalam serbuan Ops Songsang itu, kesemua individu yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 377 dan Seksyen 372 Kanun Keseksaan.
Namun, mereka terpaksa dibebaskan kerana kekurangan bukti untuk meneruskan pendakwaan, termasuk ketiadaan pengakuan daripada mana-mana pihak sebagai mangsa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami



