Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akui terdapat kelemahan dalam proses pengenalan skim pembayaran semula pinjaman Perbadanan Tabung Pinjaman Pendidikan Nasional (PTPTN) yang agak kontroversi.

Namun beliau menegaskan, apa yang penting ialah kesediaan Kerajaan Pakatan Harapan untuk mengkaji semula selepas mendapat kritikan hebat orang ramai.

“Banyak orang ada banyak pandangan. Sebelum kita umum mereka tak bagi tahu, selepas umum baru nak cakap apa yang mereka tak puas hati.

“Agak mustahil untuk kita tanya pendapat 33 juta orang (rakyat Malaysia), tetapi apabila terdapat maklum balas negatif, kita akan reaksi terhadapnya,” katanya kepada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai keputusan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menarik semula arahan pembayaran semula tabung pinjaman itu ekoran kritikan dari masyarakat, khususnya peminjam di bawah kategori M40.

Rungutan timbul apabila skim itu telah mengganggu perbelanjaan bulanan pembayar sedia ada kerana mereka telah pun mempunyai kontrak pembayaran sebelum ini, termasuk skim Ujrah dan Konvensional Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, beliau sedar perkara itu akan menimbulkan reaksi negatif terhadap imej kerajaan.

Namun, Dr Mahathir mengakui setiap orang ada kelemahannya.

“Kadang-kadang benda kita tak sangka akan terjadi, tetapi berlaku juga. Umpamanya kita tak sangka Pakatan Harapan nak menang.

“Manusia ini ada kelemahan, tak tahu apa nak jadi pada dia. Sebagai contoh, keluar rumah berjalan, tiba-tiba kena langgar kereta. Dia tak boleh nak jangka apa akan berlaku,” tambahnya.