KUALA LUMPUR: Penyediaan perkhidmatan akaun luar pesisir oleh sesebuah negara harus menjadi salah satu indikasi untuk menentukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Jelas Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar, ini kerana negara yang menyediakan perkhidmatan berkenaan menjadi tumpuan untuk individu menyimpan harta sama ada diraih secara sah atau sebaliknya dan ada juga yang ingin mengelak daripada membayar cukai.

Beliau mengulas mengenai negara-negara yang catat CPI pada tahap membanggakan, sebaliknya menyediakan perkhidmatan berkenaan.

"Seperti negara jiran yang tawarkan khidmat akaun luar pesisir, ia jadi tumpuan bagi individu di rantau ini untuk menyimpan wang atau harta.

"Jadi ini merupakan satu perkara yang perlu dimasukkan sebagai kriteria untuk menetukan CPI ini," katanya di Buletin AWANI pada Selasa.

Antara negara yang terkenal dengan penyediaan perkhidmatan luar persisir termasuk Kepulauan Cayman, Singapura serta Switzerland.

Jelas Akhbar, penentuan CPI ini tidak tertakluk kepada rasuah semata-mata, namun beberapa indikasi lain turut dinilai dalam menentukan skornya.

"Ianya turut dinilai melibatkan tabir urus, demokrasi, sama ada laksanakan akta dana politik atau tidak dan juga kestabilan politik.

"CPI ini 'secondary sources', ia dilakukan oleh golongan elit perniagaan, pakar tempatan yang melakukan tinjauan. Faktor keadaan negara tidak stabil, politik huru hara juga akan berikan skor rendah," katanya.

CPI diterbitkan setiap tahun sejak 1995 dan memberi penarafan mengikut tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara yang ditentukan oleh penilaian ahli dan tinjauan pendapat.