Skip to main content

Malaysia

Isu sembelihan ayam: Radzi gesa penjelasan segera, persoal operasi premis ketika siasatan

Radzi Jidin menggesa penjelasan segera berhubung isu status halal sebuah pusat pemprosesan ayam yang sedang disiasat pihak berkuasa. -Gambar Fail.
Radzi Jidin menggesa penjelasan segera berhubung isu status halal sebuah pusat pemprosesan ayam yang sedang disiasat pihak berkuasa. -Gambar Fail.

Advertisement

Ringkasan AI

  • Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin menggesa penjelasan segera berhubung status operasi pusat pemprosesan ayam yang diragui kaedah penyembelihan dan status halalnya.
  • JAKIM mengesahkan syarikat terbabit bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia, dan siasatan sedang dijalankan bersama pihak berkuasa tempatan.
  • Radzi turut mempersoalkan sama ada premis tersebut masih beroperasi sepanjang siasatan dan pihak yang menerima bekalan ayam dari pusat berkenaan.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin menggesa pihak berkuasa memberikan penjelasan segera berhubung status operasi sebuah pusat pemprosesan ayam susulan penularan video yang menimbulkan keraguan mengenai kaedah penyembelihan dan status halal bekalannya.

Beliau berkata, isu berkenaan tidak boleh dibiarkan berlarutan memandangkan ia melibatkan soal halal dan haram serta keselamatan makanan pengguna.

Menurutnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebelum ini telah mengesahkan bahawa syarikat terbabit bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), manakala siasatan sedang dijalankan bersama pihak berkuasa tempatan.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan sama ada premis berkenaan masih dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh siasatan, selain mahu mengetahui pihak yang menerima bekalan ayam daripada pusat pemprosesan tersebut.

“Persoalannya, berapa lama hendak disiasat? Siapa pemilik premis itu? Adakah di sepanjang tempoh siasatan, pusat pemprosesan ayam tersebut dibenarkan meneruskan operasi mereka?

“Jika ya, ke mana mereka bekalkan ayam yang diragui status halalnya? Apakah ayam yang diragui kaedah penyembelihannya ini akan terus dijual di pasaran sebagai ayam yang halal?” soalnya.

Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Radzi turut menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan terdapat pusat pemprosesan ayam lain yang menggunakan kaedah penyembelihan sehingga menimbulkan keraguan terhadap status halal produk yang dibekalkan.

Justeru, beliau mahu pihak berkuasa memberikan penjelasan segera berhubung perkara tersebut.

Must Watch Video

Advertisement