MALAYSIA

Isu sempadan Thailand-Kemboja di luar bidang kuasa AIPA - Johari Abdul

Pia Ernadya 20/09/2025 | 12:15 MYT
Johari berkata, AIPA hanya mampu menyokong usaha yang dilaksanakan kedua-dua kerajaan berhubung konflik berkenaan.- Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) menegaskan, pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja bukan isu di bawah bidang kuasa badan legislatif serantau itu.

Presiden AIPA merangkap Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, AIPA hanya mampu menyokong usaha yang dilaksanakan kedua-dua kerajaan berhubung konflik berkenaan.

“Isu yang ada di depan kita melibatkan kerajaan. AIPA adalah sebuah legislatif.

“Pihak kerajaan telahpun membuat keputusan untuk meneruskan usaha perdamaian, antaranya gencatan senjata, dan ia sedang berlaku.

“Jadi adalah lebih baik kita serahkan tindakan ini kepada pihak eksekutif. Sebagai badan legislatif, kita menyokong langkah itu kerana tidak wajar untuk kita bincangkan perkara yang sedang dilaksanakan pihak eksekutif,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung AIPA ke-46 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada Sabtu.

Terdahulu, Speaker Perhimpunan Kebangsaan Kemboja, Khuon Sudary menekankan kepentingan kestabilan dan keamanan rantau bagi mencapai integrasi ASEAN.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada negara-negara yang menyokong gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja, yang disifatkannya sebagai langkah penting ke arah keselamatan.

Bagaimanapun, Sudary mengingatkan, situasi masih rapuh dengan menuduh Thailand menahan secara tidak sah 18 askar Kemboja serta memasang kawat berduri yang menjejaskan kehidupan penduduk sempadan.

Beliau turut menggesa negara ASEAN menghalang penggunaan kekerasan tentera, pemusnahan harta benda dan sebarang pelanggaran gencatan senjata yang boleh mencetuskan konflik baharu.

Sudary pada masa sama mengkritik pengisytiharan darurat tentera oleh Thailand yang menurutnya menjejaskan kedaulatan, selain mencadangkan penubuhan Pasukan Pemerhati ASEAN (ASEAN Observer Team, AOT) bagi meninjau kawasan pertikaian itu.


#AIPA #ASEAN #gencatan senjata #konflik baharu