[TERKINI] Mesyuarat Khas Thailand–Kemboja Capai Gencatan Senjata Serta-Merta – Baca Laporan Penuh Di Sini
MALAYSIA

Isu SST sektor pembinaan, perniagaan libatkan warga asing antara fokus Dewan Rakyat

Bernama 28/07/2025 | 00:25 MYT
Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-15 bagi persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 24 hari hingga 28 Ogos ini. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan dalam memastikan projek pembinaan sedia ada tidak terkesan dengan pengenaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta dasar semasa kebebasan warga asing membuka perniagaan di Malaysia antara yang menjadi tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini.


Ringkasan AI
  • Isu SST terhadap sektor pembinaan dibangkitkan, termasuk permintaan penjelasan tentang projek yang dikecualikan dan cadangan tempoh tangguh sebelum cukai dikenakan.
  • Kebebasan warga asing membuka perniagaan turut menjadi fokus, dengan persoalan mengenai premis yang didaftarkan atas nama warganegara tetapi dikendalikan sepenuhnya oleh warga asing.
  • Penderaan haiwan terbiar dibincangkan, termasuk cadangan rangka kerja kebangsaan dan kerjasama antara kementerian, NGO serta pakar kebajikan haiwan untuk pendekatan bersepadu.


Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) meminta Menteri Kerja Raya menyatakan kategori projek pembinaan yang dikecualikan daripada cukai SST dan langkah kementerian dalam memastikan projek pembinaan sedia ada tidak terkesan dengan pengenaan cukai itu, pada sesi soal jawab.

Beliau juga ingin tahu sama ada Kerajaan MADANI akan memberi tempoh tangguh atau 'grace period' sebelum mengenakan cukai SST terhadap sektor pembinaan.

Pada sesi sama, Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) bertanyakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengenai dasar semasa berhubung kebebasan warga asing membuka perniagaan di Malaysia, khususnya peruncitan.

Beliau juga mahu kementerian menyatakan tindakan yang dikenakan terhadap premis yang didaftarkan atas nama warganegara tetapi dikendalikan sepenuhnya oleh warga asing termasuk kes melibatkan penggunaan nama isteri warganegara.

Turut menarik perhatian, soalan berhubung penderaan haiwan terbiar yang dibangkitkan oleh Wong Chen (PH-Subang) kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Wong ingin tahu sama ada kementerian akan memperkenalkan satu rangka kerja kebangsaan yang menyeluruh untuk menangani penderaan haiwan terbiar serta adakah kementerian akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan pakar kebajikan haiwan untuk melaksanakan pendekatan yang bersepadu dan komprehensif.

Usai sesi berkenaan, persidangan Dewan Rakyat dijadual diteruskan dengan pembentangan dua rang undang-undang (RUU) untuk bacaan kali pertama, iaitu RUU Insolvensi Rentas Sempadan 2025 dan RUU Pendidikan (Pindaan) 2025.

Mesyuarat Dewan Rakyat kemudian diteruskan dengan pembentangan RUU Fi (Feri Pengkalan Kubor) (Pengesahan) 2025, RUU Racun (Pindaan) 2025 dan RUU Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2025 untuk bacaan kali kedua.

Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-15 bagi persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 24 hari hingga 28 Ogos ini.

-- BERNAMA





#Dewan Rakyat #projek pembinaan #SST #warga asing