Isu stoking tertera kalimah Allah: 'Jangan ambil undang-undang di tangan sendiri' - Saifuddin

Umavathi Ramayah
Mac 25, 2024 13:02 MYT
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sesi soal jawab bersama pengamal media pada Majlis Perjumpaan Khas bersama Pengurusan Tertinggi KDN, Jabatan, Agensi dan Pengamal Media 2024 hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri menggesa semua pihak agar tidak mendahului dan mengambil undang-undang di tangan sendiri dalam mana-mana perkara termasuk isu stoking yang tertera kalimah Allah.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu hanya akan mengeruhkan lagi keadaan dan perlu dielak sebaik-baiknya demi memelihara ketenteraman awam.
"Kita ada polis, kerajaan tidak membenarkan mana-mana pihak mengambil undang-undang di tangan sendiri untuk bertindak dalam sesuatu itu.
“Bayangkan sekiranya kita membenarkan orang bertindak sendiri membatasi undang-undang, apa akan jadi pada negara kita nanti?” katanya pada Majlis Perjumpaan Khas Menteri Dalam Negeri bersama Pengurusan Tertinggi Kementerian, Jabatan, Agensi dan Pengamal Media 2024 di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut tindakan ke atas sekumpulan individu didakwa mengancam dua individu yang mengulas tentang isu stoking tertera kalimah Allah dalam media sosial baru-baru ini.
Mengulas lanjut dalam perkembangan itu, katanya lagi, negara mempunyai undang-undang untuk mengekang segala jenayah dan ancaman.
Malah tambah beliau, polis merupakan agensi keselamatan yang diktiraf dan sah menguatkuasakan undang-undang.
“Kita mesti percaya bahawa polis mempunyai tanggungjawab besar menguatkuasakan undang-undang.
"Sekiranya terdapat pihak yang mengambil tindakan undang-undang di tangan sendiri dalam sesuatu isu, polis akan mengambil tindakan berlunaskan undang-undang," tegasnya lagi.
#Kementerian Dalam Negeri #undang-undang #Saifuddin Nasution Ismail #isu stoking